Kesihatan

Berjalan 7 minit elak serangan jantung

Penyakit paling lazim dihidapi individu terutama apabila meningkat usia melebihi 40-an adalah penyakit jantung atau strok disebabkan pelbagai faktor.

Namun, ada cara paling mudah untuk mengurangkan risiko penyakit jantung, tanpa berbelanja tinggi, sebaliknya hanya perlu rajin mengamalkan gaya hidup sihat.

Dengan hanya berjalan pantas selama tujuh minit setiap hari mampu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kajian baharu saintis United Kingdom (UK), mendapati senaman secara kerap kurang membantu dalam mengurangkan risiko sakit jantung.

Malah, dengan meningkatkan tahap intensiti senaman dengan lebih cepat antara cara yang terbaik.

Selain itu, mereka menjelaskan bahawa kajian terdahulu mengenai aktiviti mudah seperti mencuci kereta atau mencuci pakaian boleh dikira sebagai senaman masih tidak mencukupi

Bagaimanapun, berjalan pantas selama 75 minit seminggu atau berlari dalam tempoh masa yang sama sudah cukup dalam membantu untuk mengelak daripada ‘ancaman’ sakit jantung.

Apabila seseorang itu melakukan lebih banyak senaman dengan tahap intensiti sederhana hingga tinggi akan ada peningkatan dalam kesihatan jantung mereka.

Sekiranya kekerapan aktiviti itu dapat ditingkatkan, maka risiko kepada masalah kesihatan jantung dapat dikurangkan sebanyak 10 peratus dan peratusan itu akan terus menurun sekiranya terus konsisten.

Jika kadar senaman ditingkatkan sebanyak 20 peratus, risiko penyakit jantung turun sebanyak 23 peratus. Apabila ia meningkat sebanyak 40 peratus pula, risiko penyakit turun sebanyak 40 peratus.

Kadar penyakit jantung juga 14 peratus lebih rendah apabila aktiviti fizikal sederhana hingga bertenaga menyumbang 20 peratus berbanding 10 peratus daripada keseluruhan aktiviti fizikal, walaupun pada orang yang tidak banyak bersenam.

Kurang risiko serangan jantung

Penyelidik dari Universiti Cambridge dan Leicester mengkaji hubungan di antara jumlah dan intensiti aktiviti fizikal dengan penyakit kardiovaskular dalam kalangan 88,412 orang dewasa pertengahan umur yang bebas daripada penyakit jantung.

Pengarang Kanan Kajian dari Universiti Leicester, Prof Tom Yates berkata, berdasarkan analisis data pihaknya mengesahkan bahawa meningkatkan jumlah aktiviti fizikal boleh mengurangkan risiko serangan jantung atau strok.

“Kami juga mendapati dengan mencapai jumlah keseluruhan aktiviti fizikal yang sama melalui aktiviti intensiti lebih tinggi mempunyai manfaat lebih besar.

“Pada masa sama, kami menggalakkan orang ramai untuk terus meningkatkan aktiviti fizikal selain mencari cara untuk menjalani dengan cara yang seronok.

“Penemuan kami menyokong dapatan kajian yang mengatakan ‘setiap pergerakan penting’ untuk menggalakkan orang ramai meningkatkan keseluruhan aktiviti fizikal mereka.

“Orang ramai boleh menukar senaman berjalan secara santai kepada berjalan pantas, tetapi pelbagai pendekatan harus digunakan untuk menggalakkan dan membantu individu itu menjalani senaman lebih praktikal menyeronokkan mereka,” katanya.

Related Articles

Back to top button