RM5 JUTA UNTUK PEMBAIKAN INSTITUSI TVET
KUANTAN : Langkah kerajaan memberikan peruntukan khas RM5 juta untuk membaiki infrastruktur di institusi berasaskan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pahang membuktikan kerajaan cakna dengan kehendak belia.
Pengarah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan Khairul Hisham Abd Kadar berkata pihaknya menghargai inisiatif dan keprihatinan kerajaan dalam hal kebajikan pelajar demi memastikan mereka dapat belajar dalam keadaan selesa.
“Perdana Menteri sangat hebat, beliau memang cakna dengan kehendak belia bagi melahirkan modal insan yang baik pada masa kini dan hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, pelajar Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Pembuatan Automotif) kolej tersebut, Che Hazmi Amiruddin Che Hussin, 20, berpendapat langkah proaktif itu membuktikan kerajaan peka dengan situasi semasa.
“Memang terkejut dengar Perdana Menteri terus umum RM5 juta tadi… dekat sini mungkin boleh baiki tandas yang ada sedikit kerosakan, bila fasiliti berada dalam keadaan elok kami pun seronok nak belajar,” katanya yang berasal dari Jertih, Terengganu.
Bagi anak jati Pekan, Muhammad Syafiq Hashim, 18, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan yang ingin melihat anak bangsa mendapat pendidikan dalam keadaan teratur dan berkualiti.
“Ini merupakan salah satu bukti kerajaan ambil berat dengan keadaan kami, mungkin di kolej saya beberapa infrastruktur di bilik asrama boleh ditambah baik,” kata pelajar tahun satu Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Automasi Industri Robotik) KKTM itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta untuk membaiki kerosakan institusi berasaskan MARA dan TVET di Pahang ketika Program Temu Anwar Kuantan di KKTM Kuantan di sini.
Sumber : BERNAMA



