Harga Minyak Belum Turun? Ini Jawapan Saya – PM Anwar Ibrahim

Ketika majlis Ramah Mesra MADANI yang diadakan pada Selasa lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjawab persoalan berkenaan isu harga minyak petrol yang masih tidak turun pada ketika ini.
Antara persoalan yang sering dilontarkan kepada Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu adalah mengenai isu harga minyak petrol yang semakin naik.
Namun, sewaktu majlis Ramah Mesra MADANI di Perak baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menjawab persoalan tersebut seperti yang terdapat dalam video yang dimuat naik ke dalam hantaran sosial medianya pada Selasa lalu.
“Saya sedar ramai yang menggunakan petikan ucapan saya berkeneaan janji menurunkan harga minyak yang diungkapkan 15 tahun lalu, dan menuntut janji itu sekarang.
Mengapa harga minyak ketika ini masih belum turun? Ini jawapan saya.” – Datuk Seri Anwar Ibrahim
Menurutnya, beliau sering dicerca ramai orang di merata tempat disebabkan oleh manifesto beliau pada tahun 2008.
‘Hari ini menang, esok minyak turun‘ – Manifesto Anwar Ibrahim pada tahun 2008.
Beliau menjelaskan bahawa manifestonya pada ketika itu adalah merujuk kepada nilai harga minyak Saudi yang jauh lebih rendah daripada Malaysia.
“Bila saya kata (manifesto) itu? Tahun 2008. Masa itu berapa harga minyak Saudi? 50 sen. Masa tu kita (Malaysia) dalam RM1.80 sahaja. Pasal apa Saudi boleh 50 sen dan kita tinggi sangat? Kita kena turunlah,” jelas Perdana Menteri itu.
Tambahnya lagi, “Harga minyak pada tahun 2023 di Arab Saudi lebih tinggi daripada Malaysia. Kita nak turun macam mana lagi? Kita dah bagi subsidi tinggi sehinggan RM30, RM40 billion subsidi untuk minyak.”
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjelaskan sebab Arab Saudi menjadi titik ukuran untuk perbandingan harga minyak di Malaysia adalah kerana negara itu mengeluarkan minyak pada kadar yang lebih besar berbanding Malaysia.
Sementara itu, merujuk Trading Economics (setakat September), harga minyak petrol per liter di Malaysia adalah USD 0.44 (RM2.08), manakala di Arab Saudi, harga minyak dilaporkan mencecah sehingga USD 0.62 (RM2.94).
Oleh itu, perbandingan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu jelas menunjukkan harga minyak petrol di Arab Saudi yang lebih tinggi berbanding Malaysia.
Saksikan video penuh di bawah.



