ASEAN dan Korea Mampu Bina Ekosistem Baharu Pacu Pertumbuhan Serantau – Anwar

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN dan Korea mempunyai keupayaan luar biasa untuk membentuk satu ekosistem ekonomi dan strategik baharu yang mampu memacu peluang baharu, memperkukuh pasaran terbuka serta mendorong pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan di rantau ini.
Dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26, Anwar berkata kerjasama antara kedua-dua pihak bukan sahaja penting dalam memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan, malah menjadi kunci kepada kestabilan serantau dan kemakmuran bersama.
“Gabungan potensi pertumbuhan ekonomi ASEAN yang pesat dengan kekuatan teknologi dan inovasi Korea mampu membentuk satu ekosistem kerjasama baharu yang saling melengkapi, sekaligus membuka ruang kepada pelbagai inisiatif ekonomi, digital dan hijau yang memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua rantau,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa hubungan antara ASEAN dan Korea yang telah terjalin selama lebih tiga dekad adalah berteraskan kepercayaan dan rasa hormat bersama, yang terbukti melalui pelbagai projek pembangunan, pelaburan langsung serta program pertukaran pengetahuan dan budaya.
Menurut Perdana Menteri, semangat saling percaya dan komitmen berterusan untuk memajukan rantau ini menjadi bukti bahawa hubungan ASEAN-Korea bukan hanya sekadar kerjasama diplomatik, tetapi perkongsian strategik yang berorientasikan masa depan.
“Dalam dunia yang semakin kompleks dan saling bergantung ini, ASEAN dan Korea perlu terus memperkukuh jaringan kerjasama bagi menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan transformasi digital,” jelasnya.
Anwar juga menzahirkan keyakinan bahawa sidang kemuncak kali ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, inovasi hijau dan pemerkasaan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi rantau menuju masa depan yang lebih lestari.
Sidang kemuncak berkenaan turut disertai oleh pemimpin-pemimpin tertinggi ASEAN dan Republik Korea bagi membincangkan hala tuju kerjasama strategik, termasuk aspek ekonomi, keselamatan, kebudayaan serta hubungan rakyat dengan rakyat (People-to-People Ties)



