Ketua Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh di Iran

KAHERAH – Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, dilaporkan terbunuh di Tehran, Iran, menurut kenyataan daripada kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada hari Rabu.
Dalam kenyataan tersebut, kumpulan pejuang Islam itu menyatakan kesedihan atas kematian Haniyeh, yang didakwa terbunuh dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran’.
“Saudara kami, pemimpin, dan mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan kami, syahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menghadiri pelantikan presiden baharu Iran,” kata kenyataan itu.
Sehingga kini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut, namun ia disyaki dilakukan oleh tentera Israel, yang sebelum ini berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas lain berikutan serangan oleh kumpulan tersebut pada 7 Oktober lalu.
Kenyataan dari pihak Iran tidak memberikan butiran lanjut tentang bagaimana Haniyeh terbunuh.
Televisyen negara Iran melaporkan kematiannya pada awal pagi Rabu, dan penganalisis telah mula menuding jari kepada Israel atas serangan tersebut.
Seperti biasa, Israel tidak segera memberikan komen, terutamanya apabila ia melibatkan pembunuhan yang dilakukan oleh agensi perisikan mereka, Mossad.
Israel telah lama disyaki menjalankan kempen pembunuhan yang menyasarkan saintis nuklear Iran dan individu lain yang terlibat dengan program atomnya.
Dalam kempennya, Israel telah membunuh lebih daripada 39,360 rakyat Palestin dan mencederakan lebih daripada 90,900 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tanpa membezakan antara orang awam dan pejuang.
SUMBER : BERITA HARIAN



