BeritaBisnes

Simpanan Konvensional atau Syariah, tepuk dada tanyalah iman!

PELANCARAN Akaun Simpanan Syariah oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 1 Januari 2017 memberi pilihan kepada pencarum untuk menyimpan dana persaraan mereka mengikut prinsip patuh syariah.

Inisiatif ini membolehkan mereka mengelakkan unsur riba, gharar dan maysir dalam pelaburan, sejajar dengan tuntutan muamalat Islam.

Terbaharu, kadar dividen KWSP bagi tahun 2024 mencatat sejarah apabila kadar untuk Akaun Simpanan Syariah dan Konvensional adalah sama iaitu 6.3 peratus.

Pakar Kewangan dan Muamalat Islam, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, perkembangan ini memberi kelegaan kepada pencarum Simpanan Syariah yang sebelum ini bimbang tentang perbezaan pulangan.

Namun, beliau turut mengingatkan bahawa 61 peratus daripada dividen Simpanan Konvensional tidak patuh syariah kerana dana tersebut dilaburkan dalam sektor yang terlibat dengan riba dan aktiviti tidak halal.

“Justeru, wang tersebut perlu ‘dibersihkan’ dengan menyalurkannya kepada fakir miskin atau keperluan awam.

“Lebih membimbangkan, lebih 74 peratus pencarum Muslim masih kekal dalam Simpanan Konvensional, sama ada kerana kurang kesedaran atau kebimbangan terhadap pulangan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Hakikatnya, peralihan ke Simpanan Syariah perlu dilakukan sendiri oleh pencarum melalui i-Akaun KWSP dan bukan secara automatik.

Dalam hal ini, Dr. Zaharuddin mengingatkan firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 28 yang bermaksud:

“Dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Kesimpulannya, keputusan memilih atau menukar kepada Simpanan Syariah bukan sekadar soal keuntungan dunia, tetapi juga soal keberkatan dan reda Allah dalam setiap rezeki yang diterima.

Related Articles

Back to top button