Anwar Mulakan ‘Kempen Poskad Khas Palestin Merdeka’ Untuk Dikirim Kepada Setiausaha Khas Agung PBB
PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres sebagai menyuarakan aspirasi rakyat Malaysia yang ingin menuntut keadilan dan keamanan buat saudara di Palestin.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata poskad itu adalah bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar PBB menerima Palestin sebagai negara anggota serta menuntut kegansan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.
“Poskad khas ini akan diserahkan menerusi Wakil Tetap Malaysia ke PBB. Saya berharap suara tulus rakyat Malaysia ini mendapat perhatian serius daripada Guterres,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi Fahmi Fadzil dalam kenyataannya pula memaklumkan bahawa kempen itu turut disertai barisan Jemaah Menteri yang menandatangani poskad tertera ayat We appeal for the UN to accept The State of Palestine as a full member. Ceasefire now! sebelum mensyuarat Kabinet, pada Rabu.

“Penghantaran pertama poskad khas ini dibuat melalui Wakil Tetap Malaysia ke PBB bagi menekankan peri pentingnya satu saluran diwujudkan untuk membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan pandangan kepada PBB dalam memelihara keamanan dan keselamatan sejagat,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan itu juga ada menyebutkan bahawa Malaysia juga berharap agar inisiatif tersebut mendapat perhatian serius daripada Guterres untuk menerima Palestin sebagai ahli PBB dan segera menghentikan keganasan yang berlaku.

Poskad itu boleh dibeli mulai hari ini di semua pejabat pos pada harga RM2 sekeping (termasuk setem pracetak 90 sen) dan orang ramai juga boleh membuat pembelian secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd
Sumber: BERNAMA



