BeritaNasional

5 Menteri, 5 Timbalan Menteri Baharu Dilantik Dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pada sidang media pagi tadi, Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Manakala, Kementeri Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 yang mana sekaligus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah seramai 60 orang.

Jumlah keseluruhan peningkatan itu adalah 60 orang barisan kabinet namun ia lebih rendah berbanding saiz Kabinet ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri iaitu 70 orang. – Sinar Harian

Semak senarai penuh Kabinet Kerajaan Perpaduan disini.

Lima Menteri, lima Timbalan Menteri selesai angkat sumpah di hadapan Agong

Kesemua lima menteri baharu Persekutuan selesai mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia, Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pada jam 3 petang, hari ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Turut mengangkat sumpah ialah M Kulasegaran (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Datuk Seri Noraini Ahmad (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Datuk Ramanan Ramakrishnan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Wong Kah Woh (Timbalan Menteri Pendidikan); serta Senator Dr Zulkifli Hasan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Istiadat yang berlangsung di Istana Negara itu bermula pada jam 3 petang sehingga 3.30 petang.

Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rombakan Kabinet bertujuan untuk membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa.

Jelasnya lagi, ia dilakukan kerana setiap perubahan daripada segi perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup, harus ditangani dengan baik.

Sumber: BERNAMA, Astro Awani, Sinar Harian

Related Articles

Back to top button