Samurai Blue berdepan ujian paling getir di Qatar

DOHA: Edisi 2022 menyaksikan penampilan ketujuh berturut-turut Jepun dalam saingan Piala Dunia. Meskipun mara ke pusingan kalah mati dalam tiga edisi, Qatar bakal memberikan ujian lebih sukar untuk pasukan kedua terbaik Asia itu.
Jepun berjaya mara ke pusingan 16 terbaik pada edisi 2018 sekali gus mengulangi pencapaian terbaik yang pernah dilakar pada edisi 2002 dan 2010.
Pada aksi kalah mati edisi 2018 itu, Jerman mendahului Belgium 2-0 namun tewas apabila dibolosi tiga gol. Pun begitu, pencapaian di Russia tetap boleh dibanggakan.
Kemenangan 2-1 ke atas Colombia pada aksi pembukaan menyaksikan mereka menjadi pasukan pertama dari Asia menewaskan pasukan Amerika Selatan pada Piala Dunia sebelum berjaya mengikat Senegal pada aksi seterusnya.
Hajime Moriyasu bakal mempertaruhkan pemain muda dan berpotensi daripada pemain berpengalaman dalam menamakan skuadnya bagi kempen kali ini.
Hanya enam pemain daripada senarai 26 pemain yang beraksi pada kempen 2018 dan skuad kali ini menampilkan pemain daripada liga yang jauh lebih berprestij.
Umpamanya pemain sayap, Takumi Minamino (Monaco) dan Junya Ito (Reims) yang berada di Perancis selain Wataru Endo (Stuttgart) dan Ao Tanaka (Fortuna Dusseldorf) di Bundesliga.
Takehiro Tomiyasu yang kebiasaannya bergandingan dengan kapten, Maya Yoshida (Schalke) di pertahanan tengah pula beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Arsenal.
Selepas disisihkan pada skuad pada edisi 2014 dan 2018, Minamino akan tampil buat kali pertama pada Piala Dunia di Qatar.
Pemain berusia 27 tahun itu mencatat perpindahan berprofil tinggi selepas menjadi pemain Jepun pertama menyertai Liverpool pada 2019 selepas enam musim bersama RB Salzburg di Austria.
Dia turut menjadi sebahagian daripada skuad yang memenangi EPL pada 2020 namun kurang mendapat minit permainan.
Dengan 10 gol buat Jepun sepanjang kempen kelayakan, Minamino mengharapkan aksi di Qatar dapat membantu meningkatkan prestasinya bersama Monaco.
PROFIL JEPUN –
Persatuan: Persatuan Bolasepak Jepun (JFA)
Konfederasi: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
Ketua jurulatih: Hajime Moriyasu
Kapten: Maya Yoshida
Nama gelaran: Samurai Blue
Kod FIFA: JPN
Ranking FIFA: 24
Penyertaan Piala Dunia: 7 kali
Pencapaian: Pusingan 16 terbaik (2002, 2010, 2018)
Jadual perlawanan
Jerman mln Jepun, 23 November, 9 malam
Jepun mln Costa Rica, 27 November, 6 petang
Jepun mln Sepanyol, 2 Disember, 3 pagi



