Kerangka Retensi Data Penting Tangani Jenayah Siber dan Lindungi Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan kerangka standard berkaitan retensi serta pemeliharaan data komunikasi dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh keselamatan negara dan perlindungan awam.
Menurut Kriminologis merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum binti Abdul Hamid, akses segera kepada metadata komunikasi seperti rekod panggilan, alamat IP dan data lokasi amat kritikal dalam menangani jenayah serius termasuk penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak serta keganasan.
“Dari sudut undang-undang, kerangka ini membolehkan bukti diperoleh secara sah, terjamin integritinya serta boleh diterima di mahkamah. Dari sudut kriminologi pula, akses pantas mampu mempercepatkan pengenalpastian suspek, melumpuhkan rangkaian jenayah dan meningkatkan perlindungan terhadap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menegaskan, ketiadaan peraturan yang seragam boleh menyebabkan bukti penting dipadam sebelum pihak berkuasa sempat mendapat akses, sekali gus menjejaskan pendakwaan dan memberi ruang kepada penjenayah mengeksploitasi kelemahan sistem.
Dr. Haezreena turut merujuk kepada pengalaman antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah dan Australia yang membuktikan bahawa undang-undang retensi data mampu mempercepatkan siasatan jenayah rentas sempadan serta kes keganasan, dengan syarat ia dilaksanakan bersama kawalan ketat dan semakan kehakiman.
Beliau mengakui terdapat kebimbangan awam mengenai privasi, namun menegaskan keseimbangan boleh dicapai sekiranya langkah itu dilaksanakan dengan telus, berlandaskan undang-undang dan tertakluk kepada pemantauan bebas.
Sehubungan itu, Dr. Haezreena menggesa masyarakat mengambil bahagian dalam rundingan awam anjuran MCMC bagi memastikan pandangan rakyat dipertimbangkan, kebimbangan ditangani serta kerangka yang dibentuk benar-benar berkesan dalam melindungi keselamatan negara tanpa mengorbankan hak asasi



