Sekolah Pondok Diperkasa, Pelajar Didedah Ilmu Digital & Kecerdasan Buatan

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah transformasi sekolah pondok dengan memberi penekanan kepada penguasaan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI). Inisiatif ini merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memperkukuh imej dan daya saing institusi pendidikan tradisional itu.
Dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 di WTCKL, Anwar menekankan bahawa pelajar pondok perlu didedahkan kepada ilmu moden tanpa mengabaikan asas agama. “Kita ingin generasi pondok bukan sahaja hafaz Al-Quran, tetapi juga mampu menguasai teknologi masa depan,” ujarnya.
Beliau berkata, antara usaha yang akan dijalankan termasuk penyediaan kemudahan pembelajaran digital, latihan AI asas, dan sokongan kewangan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah pondok. Transformasi ini diyakini mampu menarik minat generasi muda, mengangkat martabat sekolah pondok di peringkat global, serta menjadikan institusi tersebut hab ilmu agama yang progresif dan relevan dengan tuntutan zaman.
Foto Bernam



