RMK13 Fokus Pembangunan Wilayah, Lonjak Ekonomi Desa dan Kawasan Kurang Membangun

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bakal menjadi pemacu utama pembangunan seimbang negara apabila kerajaan memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, dengan penekanan kepada kawasan desa dan negeri yang kurang membangun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, berkata pendekatan ini akan memperkukuh infrastruktur asas, merangsang aktiviti ekonomi tempatan dan menggalakkan pelaburan strategik di luar kawasan bandar utama.
“Kerajaan mahu memastikan pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja dinikmati di kawasan maju, tetapi juga dirasai secara adil dan menyeluruh di seluruh wilayah,” katanya.
Seiring strategi itu, beberapa pelaburan berimpak tinggi akan diperluas ke luar kawasan tumpuan sedia ada, antaranya:
• Kawasan Perindustrian Lembah Chuping dan Pelabuhan Darat Perlis
• Taman Perindustrian Hijau Bersepadu, Kerian, Perak
• Bandar Perindustrian Maritim Lumut, Perak
Langkah ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat, menarik lebih banyak pelaburan swasta dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu, sekaligus menyokong sasaran kerajaan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan wilayah dalam jangka panjang.
Penganalisis ekonomi berpendapat, strategi desentralisasi pembangunan ini mampu meningkatkan daya saing negeri luar bandar serta memperkukuh asas ekonomi negara menjelang 2030.



