Insentif rebat RAHMAH: Eratkan silaturahim kekeluargaan, sahabat handai menerusi komunikasi

PUTRAJAYA – Pengumuman pemberian insentif rebat RAHMAH berupa tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua perkidmatan telekomunikasi warganegara sama ada prabayar atau pascabayar sempena sambutan Aidilfitri akan datang memberi manfaat buat ramai pihak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama strategik bersama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani yang
menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat.
“Di samping itu, ia juga mampu mengeratkan silaturahim menerusi komunikasi dalam talian sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Siti Suriani Othman memberitahu, inisiatif tersebut sangat baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Sepertimana yang kita fahami, Aidilfitri adalah saat paling bermakna untuk kita memperkukuh hubungan antara keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.
“Jadi, melalui pemberian insentif ini, ia mampu mengeratkan hubungan antara kita walaupun mungkin berjauhan,” kata beliau ketika dihubungi.
Sementara itu, guru Sekolah Menengah Sains Rembau, Siti Salbiah Mohd Nor pula berkata, pemberian kuota data itu dapat meringankan beban rakyat yang mungkin terkesan dengan kos sara hidup ketika ini.
“Saya percaya, inisiatif ini mampu memberi manfaat buat golongan yang kurang berkemampuan terutama dalam meraikan Syawal bersama insan tersayang,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pelajar Politeknik METrO Kuantan, Nabihah Zafirah Zainal Abidin mengakui, teruja dengan pengumuman tersebut.
“Kami golongan pelajar sering bergantung pada data internet dan pastinya insentif ini membantu saya untuk berhubung dengan sanak saudara dan rakan-rakan tanpa bimbang kuota data yang tidak mencukupi,” ungkapnya.
Apa yang pasti, usaha kerajaan memberikan rebat RAHMAH ini wajar dipuji dalam memberikan yang terbaik buat rakyat Malaysia.
Data tersebut sah bagi tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX Com.
Maklumat lanjut mengenai insentif rebat RAHMAH itu akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Sebarang info, boleh layari laman web Kementerian Komunikasi menerusi pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.



