Berita

Ibu bapa sokong Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, mahu kesedaran lebih meluas

JELAJAH Kempen Keselamatan Dalam Talian anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mendapat sokongan daripada ibubapa yang melihat inisiatif ini sebagai langkah penting dalam melindungi anak-anak mereka daripada ancaman siber.

Seorang bapa, Mohd Asrul Khuzaimi, 42, berkata pendedahan awal tentang keselamatan dalam talian sangat penting bagi memastikan kanak-kanak dan remaja lebih berhati-hati ketika menggunakan internet.

“Zaman sekarang, anak-anak seawal usia lima atau enam tahun sudah terdedah kepada peranti digital.

“Jika mereka tidak diberikan kesedaran yang betul, mereka mudah terjerumus dalam bahaya seperti penipuan atas talian, buli siber dan kandungan tidak sesuai,” katanya.

Sementara itu, Siti Salbiah Mohd Nor, 35, ibu kepada tiga orang anak memuji pendekatan interaktif yang digunakan dalam kempen ini.

“Saya suka bagaimana kempen ini menggunakan pendekatan yang mesra kanak-kanak.

“Ada aktiviti simulasi, permainan interaktif dan sesi ceramah yang mudah difahami oleh mereka. Ini membuatkan anak-anak lebih berminat untuk belajar tentang keselamatan dalam talian,” katanya.

Bagi Khamsiah Kamarudin, 49, pula, kesedaran tentang keselamatan siber bukan sahaja penting untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk golongan dewasa.

“Ramai ibu bapa sendiri kurang peka dengan ancaman siber, jadi kempen seperti ini juga memberi manfaat kepada kami.

“Saya sendiri belajar banyak perkara seperti cara mengenali pautan palsu dan pentingnya penggunaan kata laluan yang kuat,” ujarnya.

Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian ini dianjurkan dalam usaha MCMC untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu keselamatan digital.

Antara topik yang diketengahkan termasuk pencegahan buli siber, perlindungan data peribadi serta kepentingan bersikap bertanggungjawab di media sosial.

Ia akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelbagai lapisan usia dan latar belakang mengenai pentingnya keselamatan internet.

Pelancaran rasmi Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada 21 Januari lalu di Universiti Malaysia Kelantan.

Dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan masyarakat, diharapkan lebih ramai generasi muda dapat dilindungi daripada ancaman siber yang semakin meningkat di era digital ini.

Related Articles

Back to top button