UiTM untuk bukan Bumiputera, tidak pernah ada perbincangan KPT, Kabinet – Zambry

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak ada sebarang perbincangan pada peringkat kementerian atau Kabinet mengenai cadangan membuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada pelajar bukan Bumiputera.
Penafian itu ditegaskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang berkata isu berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu.
“Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak, “ katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 (Akta Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mana UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
“Merujuk kepada isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM, saya ingin memaklumkan sekali lagi dengan tegasnya bahawa isu ini tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT mahupun peringkat Kabinet.
“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini.” katanya semalam selepas ditemu bual oleh pihak media.
Kini, reaksi dari mahasiswa UiTM sendiri dengan memakai pakaian hitam esok sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.
Protes itu dicadangkan oleh pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UiTM) dan meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai menyokong kempen yang dilancarkan sejak dua hari lepas.
SUMBER : BERITA HARIAN



