Berita

Lebih 35,000 jumlah rakyat Palestin maut, Israel kembali serang Gaza

RAFAH – Kematian rakyat Palestin mencecah lebih 35,000 orang ketika Israel kembali menyerang Gaza kononnya untuk menghapuskan lokasi persembunyian Hamas.

Dalam serangan terbaru semalam, wartawan AFP, saksi dan pegawai perubatan berkata, ia melanda beberapa kawasan di Gaza.

Israel juga mengesahkan pesawatnya mengebom kononnya ‘lebih 150 sasaran pengganas sepanjang hari semalam walaupun seperti yang kita sedia maklum negara haram tersebut terkenal dengan penipuannya.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat pengeboman dan serangan Israel di Gaza kepada sekurang-kurangnya 35,034 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kembali menggesa ‘gencatan senjata kemanusiaan segera, pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan peningkatan segera bantuan kemanusiaan’ di Semenanjung Gaza yang terkepung.

“Gencatan senjata hanya akan menjadi permulaan,” kata Guterres pada persidangan derma di Kuwait, yang mana negara-negara bersidang turut menjanjikan lebih AS$2 bilion (RM9.48b) untuk membantu wilayah Palestin yang musnah.

Ketika ini usaha pengantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) ke arah gencatan senjata dilihat terhenti dan pada kelmarin Presiden Joe Biden, berkata gencatan senjata boleh dicapai ‘esok’ sekiranya Hamas membebaskan tebusan yang ditahan di Gaza sejak serangan 7 Oktober yang mencetuskan konflik.

Bagaimanapun, semalam kumpulan pejuang itu membidas Biden, dengan berkata, kenyataan itu sebagai ‘kemunduran’ terhadap rundingan dan mengingatkan pemimpin itu mengenai tindakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang ‘bergegas membatalkan’ rundingan itu dengan melancarkan serangan ke atas Rafah.

Semalam, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata serangan besar Israel ke atas Rafah akan mencetuskan ‘anarki’ tanpa menghapuskan Hamas.

“Israel berada di trajektori yang berpotensi untuk mewarisi pemberontakan dengan banyak Hamas bersenjata terlepas atau jika mereka pergi, kekosongan itu akan dipenuhi oleh huru-hara, dipenuhi oleh anarki dan mungkin diisi semula oleh Hamas,” katanya kepada NBC.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Netanyahu yang mengakui tentera Israel membunuh lebih ramai orang awam berbanding pejuang Hamas.

SUMBER : BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button