BeritaNasional

PM Anwar, PM Lee Menyaksikan RTS Link “Sambungkan” Malaysia Dan Singapura

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura iaitu Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada pagi ini telah menyaksikan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS LINK) yang secara simboliknya telah “disambungkan” antara Malaysia dan Singapura.

Penyambungan itu melibatkan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek tersebut antara Johor Bahru dan Singapura.

PM Anwar, PM Lee Menyaksikan RTS Link "Sambungkan" Malaysia Dan Singapura
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong diiringi petugas khas untuk melawat lokasi pembinaan Rapid Transit System Link (RTS LINK), pada Khamis.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua pemimpin tertinggi tersebut bertemu di tapak projek berkenaan, sekaligus menguatkan lagi komitmen kedua-dua negara terhadap projek yang bernilai berbilion ringgit itu.

PM Anwar, PM Lee Menyaksikan RTS Link "Sambungkan" Malaysia Dan Singapura
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika menyaksikan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS LINK) yang secara simboliknya telah “disambungkan” antara Malaysia dan Singapura, pada Khamis.

BACA Lagi: Pertemuan Anwar, Hsien Loong Bakal Perkukuhkan Hubungan Dua Hala Malaysia-Singapura

Semasa majlis berkenaan, Anwar dan Lee turut menandatangani plak yang secara simboliknya menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut yang kini sudah mencapai tahap kemajuan sebanyak 65 peratus setakat 31 Disember lepas, seperti yang telah dijadualkan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Link RTS merupakan projek laluan kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen iaitu salah satu bertempatkan di Bukit Chagar, Johor Bahru, manakala satu lagi di Woodlands North, Singapura.

Keretapi yang memuatkan kapisiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan yang mengambil hanya kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen itu akan menyediakan pengangkutan perjalanan yang mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru. Laluan RTS Link dijadualkan akan siap pada Disember 2026.

Projek tersebut dijangka akan membuka lembaran baharu dalam perhubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura disamping inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang masih lagi dalam perbincangan.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button