
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa profil Malaysia yang semakin tinggi bukanlah kerana dirinya sendiri, sebaliknya disebabkan oleh kestabilan politik di negara ini yang menunjukan prestasi yang semakin baik.
Menurut beliau, perkara itu turut disokong oleh komitmen berpasukan jemaah menteri yang membawa mesej sama iaitu dasar Madani hingga memberi keyakinan kepada pelabur.
“Yang kedua selain daripada kestabilan politik yang disebut satu lagi ialah dasar (kita) yang jelas. Kalau kita tengok Malaysia ini, ada hala tuju iaitu tenaga yang boleh diperbaharui, transisi tenaga dan transformasi digital,” katanya pada program Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Sehubungan dengan itu, Anwar juga mengajak semua pihak untuk bersama-sama membangunkan negara dan mengelakkan unsur-unsur negatif yang boleh membawa kepada perpecahan.
Ini kerana beliau yakin kerajaan akan dapat meningkatkan Malaysia dengan lebih harum dan hebat di rantau ini.
“Kita (Malaysia) belum pernah dalam beberapa tahun kebelakangan ini (ada hubungan baik) dengan Emiriah Arab Bersatu, Turkiye, Arab Saudi, China, Australia dan Amerika Syarikat,” jelasnya lagi.
Tonton video penuh Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Tiwikrama Perdana Menteri yang berlangsung semalam menerusi Youtube TV3.
Sumber: Astro Awani



