50 Orang Berkongsi Satu Rumah, Setiap Seorang Dapat Bilik Sewa Seluas ‘Liang Lahad’

KUALA LUMPUR: Hanya dibekalkan satu tilam, plug pengecas dan lampu mentol, 50 orang penyewa menanggung derita tinggal di bilik sewa yang luas seakan ‘liang lahad’, selain terpaksa berkongsi suasana yang sempit di sebuah bangunan dua tingkat.

Bilik sewa yang diiklankan pada nilai sewaan sebanyak RM300 itu memuatkan 40 hingga 50 penghuni di premis dua tingkat di sebuah bangunan di Jalan Maluri, Kuala Lumpur.

Pemilik premis bangunan itu telah bertindak mengubahsuai bangunan tanpa kelulusan untuk membina bilik sewa kecil yang boleh memuatkan hanya seorang penyewa dan berisiko tinggi akan menghalang proses evakuasi sekiranya berlaku sebarang kebakaran di dalam premis tersebut.
Tindakan pemilik itu mengundang padah apabila digempur Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, Operasi Menghalang Bahaya Kebakaran (MBK) itu dijalankan selepas menerima aduan daripada orang awam berkenaan premis yang menawarkan 38 bilik untuk disewa di Jalan Maluri, di sini Khamis lalu.
Beliau berkata, operasi yang membabitkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dibuat selepas amaran terhadap pemilik premis yang mengubah suai bangunan tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dikeluarkan lima hari sebelumnya.

“Pertama kali dalam sejarah, KPKT membuat (operasi) pemeriksaan mengejut. Tujuan operasi ini adalah untuk mengenal pasti kewujudan bahaya kebakaran selain membawa bahaya kepada penduduk (disekitar premis).
“Saya lihat sendiri bilik berbau, sempit dan seolah tiada ciri kemanusiaan. Kutipan sewa yang tidak berbaloi untuk pertaruhkan nyawa penyewa bagi mengaut untung.
“Bukan itu sahaja, (bilik sewa) tidak ada sistem udara dan tidak dilengkapi dengan tingkap, 38 bilik tapi berkongsi satu tandas. Saya anggarkan 40 ke 50 orang penyewa mampu menularkan penyakit berjangkit sekiranya berterusan,” katanya.
Kor Ming berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis bekenaan juga diubah suai tanpa kebenaran serta tidak dilengkali dengan alatan kecemasan seperti lampu kecemasan keluar.
Menurutnya lagi, pihaknya akan mengeluarkan notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran di bawah Seksyen 8 Akta 341.
“Kita akan beri suatu tempoh yang sesuai kepada pemilik premis untuk mematuhi kehendak notis bagi menghapuskan bahaya kebakaran yang wujud (Seksyen 10 Akta 341).
“Jika notis tidak dipatuhi, satu kertas siasatan akan dibuka bagi tujuan pendakwaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pada tahun ini sehingga Ogos sahaja, Bomba dan Penyelamat menerima 43 laporan rumah kedai terbakar manakala 13 lagi membabitkan asrama.
“Operasi mengejut ini menghantar mesej sangat jelas kepada pihak yang terbabit, ini hanyalah tip of the iceberg (permulaan masalah kepada masalah yang lebih besar).
“Mulai ini, PBT akan periksa bangunan yang berisiko kebakaran dan ambil tindakan undang-undang,” katanya.
Sumber: Harian Metro



