30 kru filem terperangkap dalam Gua Tempurung

Seramai 30 kru filem penggambaran yang dilaporkan terperangkap di belakang Gua Tempurung, di sini selamat dan berjaya dibawa keluar.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata keseluruhan kru berkenaan berjumlah 80 orang dan 30 yang terperangkap adalah warga tempatan serta Singapura.Pihak Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu dan operasi menyelamat dijalankan bersama.
“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
“Saya berasa trauma dan ketakutan semasa kejadian (kepala air) dan hanya terfikir untuk menyelamatkan diri dan peralatan penggambaran sahaja,” demikian kata Muhd Aidilfitri Ilias, seorang daripada 30 kru penggambaran sebuah filem antarabangsa yang terperangkap berhampiran Gua Tempurung di sini hari ini.
Mohd Yusri berkata, berkenaan insiden pihaknya menerima maklumat pada jam 4.10 petang memaklumkan ada orang awam terperangkap di bahagian belakang Gua Tempurung kerana paras air naik.
“Saya bersama sepasukan anggota ‘task force’ dari Balai Polis Gopeng dan Kota Bharu melawat tempat kejadian di kawasan belakang Gua Tempurung Gopeng Perak.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat yang berterusan sejak jam 4 petang. Kesemua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua. Kedalaman air lebih kurang 1.5 meter. Kesemua mangsa yang terbabit adalah krew penggambaran filem berjudul ‘Bursting Point’ dari syarikat perfileman antarabangsa dari Singapura yang sedang menjalankan kerja-kerja perfileman,” katanya
Terdahulu media melaporkan, seramai 30 individu dipercayai terperangkap di kawasan sekitar Gua Tempurung berhampiran Sahom di sini selepas laluan keluar gua itu dinaiki air berikutan hujan lebat.
Difahamkan, mereka yang terperangkap adalah kru penggambaran filem yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan terbabit.



