Tindakan MYAirline Tidak Bertanggungjawab – Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meluahkan rasa kecewa terhadap syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) ikutan pengumuman syarikat tersebut berkenaan penggantungan operasi yang berkuatkuasa Khamis, semalam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan bahawa mereka hanya mengetahui tentang keputusan mengenai penggantungan operasi syarikat penerbangan itu lewat malam Rabu lepas.
Menurutnya lagi, tindakan tidak bertanggungjawab oleh syarikat berkenaan disifatkan mencalarkan nama dan reputasi penerbangan negara kerana perkara ini turut melibatkan penumpang antarabangsa.
“MAVCOM pun amat terkejut, mereka malah tidak maklumkan perkara itu secara rasmi kepada MAVCOM. Saya semak dengan Datuk Seri Saripuddin Kasim, beliau sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM pun tidak diberi sebarang maklumat oleh MYAirline sehinggalah kita tanya mereka dan sahkan bahawa penggantungan bermula 6 pagi ini,” katanya menerusi sidang media semalam.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu pagi semalam memaklumkan bahawa keputusan itu diambil ikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara waktu.
Loke berkata tindakan tersebut yang kali pertama berlaku dalam negara ini telah menyebabkan 125,000 penumpang terjejas ekoran penggantungan operasi dengan nilai jualan tiket lebih RM20 juta, memandangkan MYAirline telah menjual tiket penerbangan sehingga bulan Mac 2024.
Kesal dengan kejadian itu, Loke berkata MYAirline perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penumpang terjejas, termasuk mereka yang terkandas di lapang terbang semalam kerana tidak diberi pemakluman awal mengenai penggantungan operaso syarikat penerbangan itu.
Tambah beliau lagi, pihaknya telah mengarahkan MAVCOM untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengendalikan isu ini selain untuk berhubung dengan Bank Negara Malayasia (BNM) bagi memastikan agar semua penumpang yang terjejas mendapat semula bayaran balik pembelian tiket mereka.
“MYAirline (sebelumnya) telah memberi jaminan kepada MAVCOM bahawa mereka akan menunaikan kewajiban mereka terhadap penumpang yang terjejas dan akan membuat bayaran balik kepada penumpang apabila mereka menemui pembiaya.
“Kita difahamkan kebanyakan pengguna guna kad kredit untuk beli tiket jadi kita perlu kerjasama untuk lihat apakah mekanisme refund (bayaran balik) untuk mana-mana penumpang yang menggunakan kad kredit, kerana walaupun bayaran telah dibuat tapi kerana perkhidmatan belum diperoleh, kita nak refund dibuat cepat,” katanya.
Sepanjang 10 bulan operasi MYAirline, syarikat penerbangan itu telah mengendalikan lapan pesaawat dan mempunyai kira-kira 900 kakitangan yang menyediakan perkhidmatan penerbangan dari KLIA Terminal 2 ke lapan destinasi domestik, dan satu destinasi antarabangsa.
Loke berkata Kementerian Pengangkutan amat prihatin terhadap perkara ini terutamanya dalam memastikan hak pengguna dilindungi, selain memantau rapat perkembangan tentang isu berkenaan demi memastikan semua aduan yang dibuat melalui MAVCOM serta isu yang dibangkitkan oleh penumpang akan dapat ditangani dengan baik.
Di samping itu, Loke turut menggunakan kesempatan yang ada untuk memberikan penghargaan kepada Malaysia Airlines, Firefly, Batik Air, dan AirAsia yang tampil menghulurkan bantuan serta menawarkan tambang harga diskaun untuk penerbangan alternatif kepada penumpang yang terkesan daripada kejadian berkenaan.
“Syarikat pengendali lapangan kapal terbang Malaysia Airports juga akan berusaha sedaya-upaya membantu pengguna yang terjejas dengan menyediakan kaunter-kaunter khas, kawasan menunggu serta memberi baucar makanan (sebagai ganti rugi kecil),” tambahnya.
MAVCOM telah meluluskan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada MYAirline untuk tempoh 12 bulan yang mula efektif pada 15 November 2022 sehingga 14 November 2023.
Tonton sidang media Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkenaan isu penggantungan operasi syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) sedutan berita dari Astro Awani dibawah.



