Bendung Budaya Buli, Kementerian Komunikasi Galakan Kempen Kesedaran

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2025 – Kementerian Komunikasi menegaskan kesungguhan untuk memperkukuh usaha membanteras budaya buli di negara ini, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menekankan keperluan membendung gejala tersebut sejak di bangku sekolah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata budaya buli bukan isu remeh kerana ia memberi kesan besar terhadap kesejahteraan emosi dan mental mangsa, di samping mampu melahirkan generasi yang hilang rasa hormat serta kasih sayang sesama manusia.
“Titah Seri Paduka Baginda amat jelas – budaya buli mesti dibanteras secara menyeluruh. Justeru, kementerian bersama agensi kerajaan dan pihak berkaitan akan memperhebatkan mesej antibuli melalui media arus perdana, platform digital serta komunikasi masyarakat,” katanya.
Antara langkah utama yang akan digerakkan termasuklah pelaksanaan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli, kerjasama rentas kementerian bagi memastikan mesej disampaikan secara menyeluruh kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti, selain mengarusperdanakan nilai murni hormat, disiplin dan kasih sayang dalam strategi komunikasi kerajaan.
Beliau turut menekankan usaha kerajaan melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kanun Tatacara Jenayah 2025 sebagai bukti keseriusan menangani isu buli dengan tindakan undang-undang yang lebih tegas.
“Saya menyeru semua pihak – ibu bapa, sekolah, komuniti serta media – untuk berganding bahu. Hanya dengan kesepakatan menyeluruh kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang,” katanya.



