
KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan entiti syarikat yang lain membabitkan wang sebanyak RM15 juta.
Tindakan tersebut menyebabkan Aman Palestin memfailkan semakan kehakiman terhadap SPRM dan peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman (ex parte) terhadap SPRM dan Kerajaan Malaysia.
Hingga hari ini, dua surat telah diutus kepada SPRM pada 27 November 2023 dan 9 Januari 2024, merayu dan memohon pertimbangan bagi akaun-akaun Aman Palestin dinyahbekukan untuk tujuan bantuan kewangan dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin.
“SPRM tidak menjawab. Krisis kemanusiaan meruncing dan ratusan mati setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum ini, SPRM melaporkan bahawa pihaknya berjaya merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu yang disyaki berkenaan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain dari objektif penubuhan syarikat tersebut.
Menurut SPRM, pihaknya telahpun membuat penggeledahan di premis Aman Palestin dan memperoleh pelbagai dokumen berkaitan kewangan serta pengurusan operasi tersebut sejauh tempoh lima tahun terdahulu. – DI SINI
Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).
Sementara itu dalam perkembangan yang berkaitan, Aman Palestin memaklumkan bahawa angka kematian di Gaza akibat dibunuh oleh negara haram Israel kini mencecah 26,751 mangsa termasuk 10,000 kanak-kanak, manakala seramai 65,636 orang lagi cedera.
“Bantuan dan kempen kemanusiaan mesti diteruskan walau apapun terjadi. Aman Palestin tidak asing namanya bagi bantuan kemanusiaan ini di Gaza, Palestin, dan merentasi kawasan berhampiran Lubnan, Syria serta Yaman.
“Aman Palestin menyerahkan urusan ini kepada sistem kehakiman untuk mencapai kebenaran serta sebagai langkah untuk membersihkan namanya daripada tohmahan jahat dan dakwaan-dakwaan palsu penyelewengan RM70 juta (yang dinafikan),” dakwanya.
Beliau berkata Aman Palestin dikenali sebagai institusi yang sentiasa mempelopori bantuan kemanusiaan di Palestin dan mempunyai rangkaian persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Turkiye, Syria, Lubnan dan kawasan sekitarnya.
Tambahnya lagi, Aman Palestin berharap rakyat Malaysia tidak mengira bangsa serta agama akan terus mempertahankan hak asas masyarakat Palestin dan menentang sekeras-kerasnya pendudukan negara haram Israel di tanah Palestin.
SUMBER – BERITA HARIAN




