BeritaTeknologi

MCMC Sekat Sementara Akses Grok Susulan Kegagalan Kawal Kandungan AI

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa mulai 11 Januari 2026, susulan kegagalan platform itu melaksanakan langkah perlindungan kandungan yang berkesan.

Menurut MCMC, tindakan tegas tersebut diambil selepas Grok didapati berulang kali disalahgunakan untuk menjana kandungan lucah, seksual eksplisit, tidak senonoh melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

MCMC sebelum ini telah mengeluarkan notis rasmi kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari lalu, menuntut pelaksanaan perlindungan teknikal serta sistem penyeliaan kandungan yang selaras dengan undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, maklum balas yang diterima daripada pihak terlibat didapati tidak memadai apabila hanya tertumpu kepada mekanisme pelaporan oleh pengguna, tanpa menangani risiko struktur dan reka bentuk sistem AI tersebut.

Menurut MCMC, pendekatan sedemikian gagal mencegah kemudaratan dan tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan pengguna, khususnya golongan rentan.

Sehubungan itu, sekatan sementara dikenakan sebagai langkah pencegahan sementara proses kawal selia dan perundangan sedang berjalan. Akses kepada Grok hanya akan dipertimbangkan semula selepas langkah perlindungan yang berkesan dapat dibuktikan.

MCMC turut menggesa orang ramai agar melaporkan sebarang kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat dan bertanggungjawab.

Related Articles

Back to top button