
KUALA LUMPUR – Berikutan isu semasa yang kita dengari berpalit bencana banjir di sesetengah kawasan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) akan disegerakan kewujudannya yang akan dimulakan di sembilan negeri melalui projek rintis.
Sewaktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam, Anwar yang merupakan Menteri Kewangan juga menyatakan kos siling bagi setiap PPKB adalah sebanyak RM5 juta dan ia berpotensi menjadi sejenis kemudahan perlindungan mangsa banjir yang lebih baik dan berkualiti berbanding pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedia ada.
“Kita hadapi bencana banjir setiap tahun, tak munasabah hanya jadikan PPS sahaja, sebab itu kerajaan putuskan untuk segera tubuhkan PPKB.” ujarnya.
Beliau juga berkata PPKB yang akan diwujudkan boleh menjadi pusat komuniti diluar musim banjir tetapi dengan syarat tempat tersebut dipersiapkan jikalau banjir datang secara tiba tiba seperti yang selalu terjadi.
Kenyataan tersebut adalah jawapan Anwar kepada soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang bertanyakan berkenaan persiapan, perancangan dan tindakan kerajaan untuk membaik pulih atau menambah baik kemudahan asas PPS di seluruh pelosok negara.
JAWAPAN ANWAR TENTANG PERSIAPAN KERAJAAN TERHADAP BENCANA BANJIR
Anwar juga telah memberi respons berkenaan soalan asal Shamshulkahar tentang tahap siap siaga kerajaan menguruskan bencana banjir dan musim Monsun Timur Laut dengan menjawab bahawa sebanyak RM 241 juta peruntukan awal telah pun disalurkan untuk digunakan di 164 daerah, diikiuti dengan semangat Malaysia Madani.
Beliau juga berkata persiapan untuk prabencana juga telah dibaik pulih melalui pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti dan Jabatan Pengairan dan Saliran juga sudah berjaya mengenal pasti 5,648 lokasi hotspot yang ada potensi untuk berlakunya banjir.
“Kerja-kerja penyelenggaran telah dilakukan selain aktifkan bilik kawalan operasi, pusat ramalan dan amaran banjir yang beroperasi 24 jam. Kita juga telah menempatkan 737 pam bergerak di semua lokasi hotspot banjir di seluruh negara serta dapat menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web” tambahnya lagi.
Anwar turut berkata seramai 66,169 pegawai dan anggota dari pelbagai cabang agensi kerajaan di setiap peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi bencana banjir yang mendatang.
Antara pegawai dan anggota yang bersedia adalah merangkumi antara Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia yang dibantu dengan sokongan sebanyak 25,440 unit pelbagai aset yang boleh membantu dalam bencana banjir.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 PPS dengan kapasiti yang boleh menempatkan sebanyak 1,620,855 mangsa anjir di seluruh negara.
JAWAPAN ANWAR TENTANG PERUNTUKAN KHAS KEPADA KAWASAN PARLIMEN YANG SERING DILANDA BANJIR
Soalan tersebut telah diusulkan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang), mempersoalkan dimana kah peruntukan yang diperlukan oleh kawasan Parlimen yang sering dilanda banjir.
Anwar menjawab soalan tersebut dengan menyatakan bahawa Kelantan akan diberikan keutamaan kerana kesan selepas banjir di negeri tersebut jauh lebih teruk berbanding negeri lain.
“Ini termasuk dengan pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Kelantan Fasa Dua dan rancangan tebatan banjir Kota Bharu, yang mungkin akan dimulakan dalam masa sebulan ini dan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin semalam, beliau juga bersetuju menyegerakan pembinaan jambatan dan penyelenggaraan Sungai Golok ke Rantau Panjang, dalam usaha mengurangkan tekanan banjir” ujarnya lagi dalam Dewan Rakyat semalam.
Kelmarin, Anwar dan rakan sejawatnya telah mengadakan lawatan kerja di Sadao, Wilayah Songkhla di Thailand untuk membincangkan kerjasama dua hala diantara Malaysia-Thailand. (ARTIKEL 1 & ARTIKEL 2)
SUMBER : BERNAMA



