Berita

RUU Majlis Media Malaysia 2024: Memperkukuh kebebasan dan etika kewartawanan

SETELAH lebih lima dekad diusahakan, Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 akhirnya diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Keputusan itu menandakan satu pencapaian penting dalam landskap media negara.

Penubuhan MMM dijangka menjadi pemangkin kepada kebebasan media serta memastikan etika kewartawanan yang lebih tinggi.

Menurut Pengarang Berita Kosmo, Mohd Turmadzi Madun, kewujudan MMM bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh industri media, malah meningkatkan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau menyifatkan majlis ini sebagai platform utama untuk menangani isu berkaitan profesionalisme media dan menjadi penghubung antara media, kerajaan dan masyarakat.

“Selain itu, MMM juga berperanan dalam pembangunan profesional wartawan melalui latihan berterusan agar mereka sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan standard antarabangsa,” katanya.

Walaupun disambut baik, beberapa pihak turut menyuarakan kebimbangan mengenai campur tangan kerajaan dalam MMM.

Dalam satu kenyataan bersama, 10 agensi dan pertubuhan media menegaskan bahawa majlis ini mesti beroperasi secara bebas tanpa pengaruh politik.

Mereka turut menolak kehadiran wakil kerajaan dalam lembaga MMM kerana dikhuatiri akan menjejaskan peranan badan tersebut sebagai pengawal selia kendiri.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Siti Suriani Othman menekankan bahawa cabaran utama selepas penubuhan MMM adalah memastikan pengamal media tidak ditekan oleh kuasa politik atau faktor luaran yang boleh menjejaskan kebebasan mereka.

“Saya berharap MMM dapat menegakkan etika kewartawanan di tahap tertinggi serta menjadi badan yang menyelesaikan konflik dalam industri media secara adil dan saksama,” ujarnya.

RUU MMM 2024 diluluskan dengan sokongan majoriti selepas dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap peranannya dalam membentuk landskap media yang lebih bebas dan beretika di Malaysia.

Related Articles

Back to top button