Ibu bapa mangsa dilepaskan dengan ikat jamin, Siasatan kes bunuh Zayn Rayyan masih berjalan

PETALING JAYA – Ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin membayar ikat jamin RM20,000 di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.
Namun, berdasarkan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkenaan dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan, beliau mengatakan ianya ;
“We are so close, yet so far”
Ibu Bapa Zayn Rayyan dilepaskan dengan ikat jamin
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang merupakan ibu bapa kepada Zayn Rayyan masing-masing berusia 29 tahun membuat pembayaran itu jam 12.40 tengah hari, hari ini.
Sejurus itu, suami isteri berkenaan dilihat menaiki Perodua Myvi putih sebelum meninggalkan kompleks mahkamah.
Terdahulu, ibu bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu, mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Tiada syarat pasport kerana dokumen perjalanan tertuduh terbabit sudah tamat tempoh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai ini.
Siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan masih berjalan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berpendapat meskipun beliau berbangga dengan pencapaian anak buahnya dalam mengendalikan kes itu, beliau berkata hakikat pendakwaan hari ini perlu diterima.
“We are so close, yet so far (kita dah hampir hampir ke penamat, namun hakikatnya masih jauh),” katanya merujuk pencapaian kes itu yang tidak menghala seperti diharapkan iaitu pertuduhan kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, penyelesaian kes berkenaan adalah satu bentuk komitmen tinggi yang ditunjukkan pegawai dan anggotanya.
Beliau juga meminta semua pihak untuk tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung penyataan-penyataan yang tidak tepat sepanjang siasatan dijalankan PDRM sebelum ini.
“PDRM menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi sehingga boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan kenyataan yang tepat hanyalah daripada pihak polis. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak melanggar mana-mana undang-undang sehingga boleh menjejaskan prosiding siasatan dan subjudis kepada perbicaraan kes,” ujarnya lagi.
SUMBER : BERITA HARIAN, BERITA HARIAN





