Jangan jadikan isu BlackRock sebagai “Wayang Politik” – PM Anwar
PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak, lebih khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) sebagai “wayang politik”.
Anwar berkata bahawa mana-mana pihak berhak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan, namun pada masa yang sama tidak boleh menafikan langsung usaha kerajaan yang selama ini menyokong rakyat Palestin dalam menyuarakan isu di Gaza.
“Jangan guna isu ini (BlackRock), kerana isu ini (serangan di Gaza) seharusnya menyatukan kita… siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?”
katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di sini pada Jumaat.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan mengambil pendirian yang tegas dalam memperjuangkan hak rakyat palestin dengan membatalkan kerjasama dengan semua syarikat yang membuka operasinya di Israel.
Walau bagaimanapun, Anwar kata tindakan tegas itu tidak boleh diambil sewenang-wenangnya bagi syarikat-syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di negara lain buat masa ini bagi memastikan ekonomi negara Malaysia tidak terjejas.
“Syarikat yang ada operasi di Amerika, Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya kerana akan menjejaskan ekonomi negara.
“Jadi sementara saya akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu dari Israel, saya tetap tegas,” ujar Anwar.
Pembangkang ketika ini mendakwa BlackRock sebuah firma dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
SUMBER : BERNAMA



