Konsert Search Rock On 40 bakal gegar pentas Istana Budaya pada 4 Disember ini

Search yang merupakan kumpulan rock legenda tanah air bakal muncul dalam Konsert Search Rock On 40 yang akan berlangsung pada 4 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Vokalis Search, Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau Amy meluahkan rasa bangga kerana dapat berpeluang kembali ke pentas yang berprestij iaitu Istana Budaya dimana dia dapat “mengimbau nostalgia dahulu”, dalam majlis tandatangan yang berlangsung di pejabat Menara Network baru-baru ini.
“Menjadi penghormatan buat kami kerana dapat beraksi di Istana Budaya serta dapat bertemu dengan para peminat kami yang menyokong sejak 40 tahun lalu”.
“Selepas lapan tahun, akhirnya kami dapat kembali untuk mempersembahkan rangkaian lagu yang dimainkan untuk mengimbau kenangan ketika membuat persembahan di kelab gig”.
Industri muzik ketika itu didominasi oleh irama blues dan reggae, jadi lelaki itu berkata, “Segmen ini sangat signifikan kerana pada masa itu kami berjaya mengubah landskap.”
Tatkala itu, pihak penganjur Network Sdn Bhd, Datuk Ab Razik Asmuni berkata bagi meraikan perkembangan kejayaan muzik rock sejak empat dekad lalu, konsert Search Rock On 40 itu bertepatan untuk dilangsungkan bagi peminat-peminat kumpulan rock.
“Persembahan yang mega ini menandakan satu permulaan siri konsert rock jelajah ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura.
“Atas sambutan yang sangat hebat dari peminat sendiri, kami memilih untuk meneruskan konsert ini bersama kumpulan rock legenda Search,” katanya lagi.
Datuk Razif juga memberi satu bayangan bahawa persembahan itu yang akan berlangsung selama tiga malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur akan membawa kembali penonton ke dalam zaman kegemilangan muzik rock Malaysia dan tidak lupa juga dapat mendengar lagu hits yang jarang dipersembahkan di konsert sebelum ini.
Persembahan kumpulan rock legenda iaitu Search adalah merupakan acara kemuncak bagi konsert Rock On 40 dan akan menjadi pelengkap kepada siri Rock On 40 ini. Ini dikatakan kerana akan ada konsert rock yang menampilkan penyanyi-penyanyi hebat dalam genre muzik ini, seperti Datuk Awie, Ella, Man Kidal, Muss, dan Riz Halim pada 2 dan 3 Disember ini.
Harga tiket bermula dari RM168,RM238, RM288, RM388, RM488 dan ruang VVIP pula berharga RM2,500. Untuk sesi ramah mesra, boleh melayari https://menaranetwork.com untuk pembelian tiket.



