
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM 2.84 bilion nilai yang ada potensi pelaburan manakala potensi eksport produk dan perkhidmatan Malaysia bernilai RM500 juta yang di raih oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sewaktu menjalankan misi perdagangan dan pelaburan di Itali, yang berlangsung dari 12 Januari hingga 16 Januari semalam.
Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, yang merupakan Menteri MITI telah mengetuai misi ke Itali tersebut dan bertemu dengan syarikat terkemuka Itali dalam sektor automotif, aeroangkasa, semikonduktor, makanan, biofuel serta peralatan yang berupaya membantu capai kemajuan penting dalam memupuk hubungan ekonomi serta menarik potensi pelaburan dan perdagangan.
Antara syarikat utama yang beliau telah berjumpa termasuklah STMicroelectronics, EDA Industries serta Leonardo’s Helicopter and Aircraft Divisions.
“Semasa mesyuarat bersemuka tertutup, syarikat-syarikat ini mengemukakan rancangan pelaburan mereka di Malaysia dan menunjukkan komitmen untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu bagi pindahan pengetahuan dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi di negara ini.” ujarnya.
“Misi itu juga mengadakan lawatan ke kilang Leonardo Helicopter and Aircraft Dvisions di Milan dan Turin.”
“Pemain global dalam industri aeroangkasa menyatakan minatnya untuk meneroka usaha niaga baharu di Malaysia bagi menyokong operasi serantaunya pada masa depan.” ujar MITI dalam satu kenyataan semalam.
Menurut kementerian itu, dari segi potensi eksport, Tengku Zafrul juga pernah bertemu dengan Fererro International S.A, syarikat utama dalam pengeluaran makanan berasaskan coklat dan koko dan ENI Trade and Biofuels S.p.A, anak syarikat ENI S.p.A, yang merupakan salah satu syarikat petroleum dan gas terbesar di Itali.
Dalam masa yang sama, Tengku Zafrul turut menyatakan perkongsian yang akan terjalin dengan Itali akan memberi sedikit sebanyak manfaat dan sumbangan besar dalam usaha Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi teknologi dan inovasi termaju.
“Hasil daripada misi itu mencerminkan komitmen kita untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.”
“MITI dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memastikan kejayaan merealisasikan potensi pelaburan dan eksport ini, yang merupakan kunci ke arah memupuk pertumbuhan ekonomi mampan di Malaysia, seperti yang dirancangkan dalam Pelan Induk Perindustrian (NIMP) 2030,” katanya.



