Ekstremisme Digital Semakin Kompleks: Pakar Gesa Tindakan Lebih Pantau Kandungan Berisiko Tinggi

KUALA LUMPUR – Peningkatan kandungan ekstremisme dan hasutan keganasan di platform digital menunjukkan perubahan yang semakin kompleks, sekali gus menuntut perhatian lebih serius daripada penyedia platform dan pihak berkuasa. Menurut taklimat media bertemakan Zero Tolerance for Violence, mesej berbahaya kini tidak lagi disampaikan secara jelas, sebaliknya menggunakan pendekatan tersirat seperti bahasa berkod, simbol tertentu dan visual yang diubah suai untuk mengelakkan pengesanan awal.
Kandungan sebegini sering disebarkan melalui akaun tanpa identiti atau rangkaian terancang yang mensasarkan individu berisiko, termasuk golongan belia, mereka yang terasing secara sosial atau sedang melalui tekanan emosi. Trend antarabangsa turut menunjukkan bagaimana kumpulan ekstremis mengambil kesempatan terhadap ciri algoritma dan tingkah laku pengguna untuk memperluas pengaruh mereka.
Pakar keselamatan mengingatkan bahawa kelewatan moderasi atau ketidakselarasan kawalan platform mampu mempercepatkan penyebaran mesej keganasan, sekali gus membentuk normalisasi tindakan berbahaya dalam masyarakat. Langkah seperti pengesanan awal, penyingkiran konsisten dan saluran pelaporan yang jelas perlu diperkukuh bagi melindungi pengguna.
Masyarakat kini menjangkakan persekitaran komunikasi yang lebih selamat dan telus. Oleh itu, kerjasama antara kerajaan, industri dan pengguna dilihat sebagai komponen utama bagi menangkis ancaman yang semakin halus ini.



