Nasional

Diskaun tol banyak kelebihan dari kekurangan

KEPUTUSAN kerajaan untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus berbanding pengecualian penuh sempena perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

Dekan Institut Lepasan Ijazah, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Dr. Barjoyai Bardai berkata, langkah ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi lebih kepada usaha kerajaan untuk menunjukkan keprihatinan terhadap maklum balas rakyat.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan pengalaman masa lalu. Setiap tahun, kerajaan membelanjakan kira-kira RM200 juta untuk pengecualian tol sempena lebih daripada 10 perayaan utama.

“Namun, faedah pengecualian penuh hanya terhad kepada pengguna lebuh raya, manakala golongan yang menggunakan motosikal atau jalan alternatif tidak mendapat manfaat yang sama,” ujarnya.

Dr. Barjoyai juga menggesa rakyat agar tidak menyalahkan kerajaan kerana mengubah peraturan ini.

“Ini kerana peraturan berkenaan telah dikaji dan didapati tidak berkesan untuk memberi bantuan dan manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut mencadangkan agar wang tersebut digunakan untuk inisiatif lain yang lebih bermakna, seperti menambah belanjawan untuk program seperti Menu Rahmah dan Pasar Rahmah yang dapat membantu semua golongan masyarakat.

Related Articles

Back to top button