
KEBEBASAN bersuara dalam aspek perbincangan berkaitan keluarga dan sosial, perlu disertai dengan tanggungjawab agar tidak melanggar batasan agama dan budaya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor berkata, dalam hal ini prinsip amar makruf nahi mungkar harus dipegang, di samping menghormati kepercayaan dan nilai pelbagai lapisan masyarakat.
“Salah satu batasan penting adalah menjaga kerahsiaan keluarga. Perkongsian keterlaluan boleh membuka aib dan menjejaskan maruah ahli keluarga.
“Islam melarang penyebaran keburukan orang lain, sama ada dengan atau tanpa bukti sahih,” tegas beliau.
Menurut Dr. Khairunneezam, trend ‘exposing’ dan ‘cancel culture’ di media sosial turut memberi kesan besar kepada hubungan kekeluargaan dan sosial.
“Berdasarkan kajian Ng (2020) dalam Crime, Media & Culture, budaya ini boleh menyebabkan pengasingan sosial serta merosakkan hubungan dalam masyarakat dan keluarga.
“Sesetengah pempengaruh sanggup melangkaui batasan privasi demi populariti, yang akhirnya membawa kesan negatif kepada diri dan orang sekeliling,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, Islam menekankan larangan membuka aib sendiri dan orang lain tanpa sebab yang sah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa menutup aib saudaranya, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sementara itu, Dr. Khairunneezam memberitahu, bagi isu kebebasan bersuara di media sosial, kawalan yang terlalu ketat boleh menjejaskan hak bersuara, manakala kawalan yang terlalu longgar boleh membawa kepada penyalahgunaan.
“Malaysia memerlukan undang-undang seimbang yang memastikan penyebaran kebencian, fitnah dan berita palsu dapat dikawal tanpa menekan kebebasan bersuara yang bersifat membina.
“Dalam Islam, konsep Hisbah berperanan sebagai mekanisme pengawasan sosial yang menyeimbangkan kebebasan dan tanggungjawab. Ini bagi memastikan suara yang disampaikan tidak melampaui batas dan kekal dalam kerangka kebaikan,” ungkapnya.
Beliau turut memetik pandangan Dr. Ariyanti dari Universiti Malaysia bahawa kebebasan bersuara harus diamalkan dengan penuh hikmah (wisdom) agar keharmonian masyarakat terpelihara dan tidak dicerobohi secara terbuka.
Kesimpulannya, kebebasan bersuara dalam media sosial memerlukan keseimbangan antara hak individu dan kepentingan masyarakat.
Pengguna harus mengamalkan adab digital, manakala pihak berkuasa perlu memastikan kawalan bersifat mendidik, bukan sekadar menghukum.
Hanya dengan cara ini, kebebasan bersuara dapat digunakan sebagai alat pembangunan sosial yang positif.



