Anwar mengucapkan takziah kepada keluarga Tan Sri Devaki Krishnan

KUALA LUMPUR – Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Devaki Krishnan, yang merupakan wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia yang meninggal dunia kelmarin.
Menerusi perkongsian dalam media sosial milik Anwar, beliau berkata Devaki merupakan sebuah sosok penting dalam sejarah perjuangan yang mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan dan politik serta sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.
“Turut berdukacita di atas pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia, Tan Sri Devaki Krishnan malam tadi. Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang buat selamanya. Takziah kepada keluarga mendiang.” katanya.
Berita pemergian mendiang juga dikongsi oleh cucunya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan menerusi media sosial Facebook miliknya awal pagi tadi.
“Kehilangannya pada usia 100 tahun sudah tentu amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga. Kehilangannya tiada ganti. Kenangan bersamanya akan terus diabadi. Semoga rohnya diberikan ketenangan,” katanya.
Menurut Ramanan, mendiang Devaki merupakan seorang tokoh wanita berpengaruh dalam politik Malaysia sehingga diberi gelaran ‘Grand Dame of Malaysian Indian Politics’ dan hayatnya diabdikan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Jasa dan kepimpinannya mengangkat martabat wanita di mata dunia. Seorang pionir sebagai wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia dan meninggalkan warisan gemilang dalam sejarah politik negara,” ujarnya lagi.
Siapa mendiang Tan Sri Devaki Krishnan ?
Tan Sri Devaki Krishnan dilahirkan pada 11 Mac 1923 di Port Dickson, Negeri Sembilan dan meninggal dunia pada 20 Januari 2024, pada usia 100 tahun.
Beliau memulakan karier sebagai guru dalam hidupnya, sebelum memenangi kerusi dalam Majlis Pembandaran di Kuala Lumpur pada tahun 1952, sekaligus menjadikan beliau sebagai wanita pertama di Malaysia yang dipilih untuk menjadi penjawat awam.
Mendiang mula terlibat dalam politik pada 1950 dan berjaya menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 1951 atas jemputan pengasas parti itu iaitu Datuk Onn Jaafar.
Devaki juga telah menjadi wanita India pertama yang dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 1995 serta pernah menerima pelbagai anugerah sepanjang hayatnya, termasuklah Tokoh Wanita dan Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).
SUMBER : BERNAMA, FACEBOOK, BERITA HARIAN



