Langkah Tepat Pupuk Kecemerlangan: Pengecualian Bayaran Balik PTPTN Cerminan Keprihatinan Kerajaan terhadap Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa cemerlang yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 disifatkan sebagai langkah tepat dan berimpak besar terhadap pembangunan modal insan negara.
Presiden Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM), Saiful Azhar Shaharun berkata, inisiatif ini bukan sahaja memupuk semangat serta motivasi pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik, malah memberi kelegaan kepada keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup semasa.
“Langkah ini penting sebagai satu bentuk motivasi kepada mahasiswa untuk belajar dengan lebih tekun. Pada masa yang sama, ia memberi kelegaan besar kepada pelajar yang cemerlang, khususnya daripada keluarga B40,” katanya selepas Mesyuarat Agung Persekutuan Alumni UiTM Malaysia dan Peluncuran Tabung Pendidikan dan Biasiswa Alumni UiTM yang berlangsung di ibu negara.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah (B40 & M40).
Insentif berimpak sosial tinggi ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 6,000 peminjam PTPTN, dengan peruntukan tahunan sebanyak RM90 juta.
Saiful Azhar menambah, langkah kerajaan itu menunjukkan kesungguhan untuk membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil — di mana kecemerlangan diraikan, dan beban kewangan tidak menjadi penghalang kepada potensi anak muda.
“Apabila pelajar cemerlang dari keluarga kurang berkemampuan diberi pengecualian bayaran balik, mesejnya jelas — negara menghargai usaha gigih mereka dan mahu mereka terus menyumbang kepada masyarakat selepas tamat pengajian,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa PAUiTM menyokong penuh usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan tinggi melalui pendekatan berasaskan merit dan tanggungjawab sosial. Pada masa sama, PAUiTM turut memperkenalkan Tabung Pendidikan dan Biasiswa Alumni UiTM, sebagai usaha memperluas akses pendidikan kepada anak-anak bangsa yang memerlukan.
“Kami percaya, kejayaan akademik bukan sekadar milik individu, tetapi kejayaan seluruh masyarakat. Alumni UiTM akan terus berganding bahu dengan kerajaan dan sektor industri bagi memastikan lebih ramai anak muda diberi peluang untuk berjaya,” ujarnya.
Langkah pengecualian bayaran balik PTPTN ini diharap menjadi pemangkin kepada generasi pelajar yang bukan sahaja berilmu, tetapi turut memiliki rasa tanggungjawab sosial untuk kembali menyumbang kepada masyarakat — selari dengan semangat “UiTM Dihatiku” dan visi melahirkan pemimpin bangsa yang berdaya saing, berintegriti dan berjiwa rakyat



