BeritaTeknologi

Pelesenan media sosial Langkah proaktif kerajaan

PELAKSANAAN keperluan pelesenan bagi platform media sosial oleh kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Mulimedia Malaysia (MCMC) dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam menangani pelbagai isu jenayah siber yang semakin meningkat.

Antara isu yang ingin ditangani adalah penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin menjadi kebimbangan di era digital ini.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sistem dan Teknologi Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universit Malaya, Dr. Saaidal Razalli Azzuhri berkata, pelaksanaan pelesenan ini mampu memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna.

“Dengan memastikan platform mematuhi undang-undang tempatan dan bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan, ia dapat mengurangkan penyebaran maklumat palsu serta aktiviti haram yang merosakkan keharmonian masyarakat.

“Selain itu, pelesenan ini memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap platform yang gagal mematuhi peraturan, sekaligus mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat,” katanya.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang mungkin timbul dalam pelaksanaan langkah ini.

“Kebimbangan mengenai kebebasan bersuara adalah antara isu utama, terutamanya jika peraturan ini tidak dilaksanakan dengan teliti.

“Di samping itu, platform kecil dengan sumber yang terhad mungkin menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan pelesenan yang berpotensi menjejaskan inovasi dalam industri digital.

“Malah, kekurangan kejelasan dalam garis panduan pelaksanaan juga boleh menyebabkan kekeliruan serta ketidakkonsistenan dalam penguatkuasaan peraturan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr Saaidal menasihatkan para netizen agar lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat di media sosial.

“Kesedaran mengenai kesahihan sumber maklumat adalah penting untuk mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mendatangkan mudarat,” ujarnya.

Beliau juga menggesa agar kandungan yang melanggar undang-undang atau tidak bermoral dilaporkan segera kepada pihak berkuasa atau platform berkenaan.

Bagi pengendali platform media sosial pula, Dr. Saaidal menekankan pentingnya memastikan pematuhan terhadap semua peraturan dan undang-undang tempatan.

“Mereka juga disarankan untuk meningkatkan mekanisme pemantauan bagi mengenal pasti serta menghapuskan kandungan berbahaya dengan lebih berkesan.

“Kerjasama rapat antara platform dengan kerajaan dan agensi berkaitan adalah langkah penting untuk memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan harmoni,” kata beliau lagi.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan akta pelesenan media sosial ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem digital yang lebih bertanggungjawab dan selamat.

Walau bagaimanapun, kejayaannya bergantung kepada kerjasama yang erat antara pengguna, pengendali platform dan pihak berkuasa dalam merealisasikan matlamat tersebut.

Related Articles

Back to top button