Berita

5 tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah akan dikenang seluruh rakyat

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia mendapat banyak manfaat dalam tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, seperti yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menegaskan bahawa lima tahun pemerintahan baginda akan dikenang oleh seluruh rakyat kerana keberhasilannya dalam memberikan keamanan dan kesejahteraan.

“Dengan penuh penghargaan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong yang sangat peduli terhadap rakyatnya telah menyatukan keadilan dan kebijaksanaan, yang pastinya akan dikenang oleh semua yang menikmati masa damai dan sejahtera selama lima tahun ini,” tulisnya dalam catatan di Facebook hari ini.

Anwar juga menekankan bahawa kewibawaan Al-Sultan Abdullah telah membantu menyelesaikan krisis politik negara dan menggagas semangat kesatuan.

“Dengan kestabilan yang dipersembahkan, kita telah dapat berusaha untuk mengembalikan keagungan negara ini ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Pada hari ini, Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahannya setelah lima tahun memimpin sebagai Ketua Utama Negara sejak 31 Januari 2019.

Esok, kita akan menyaksikan permulaan era baru di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara istiadat di Istana Negara yang menunjukkan keunikan sistem penggiliran raja di Malaysia.

Sinopsis 5 tahun pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

16 JANUARI 2019 – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan menjadi Sultan Pahang ke-6.

24 JANUARI 2019 – Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-251 telah berkenan memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

31 JANUARI 2019 – Baginda mengangkat sumpah bagi memulakan pemerintahan di peringkat Persekutuan di Istana Negara.

30 JULAI 2019 – Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

24 FEBRUARI 2020 – Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7.

1 MAC 2020 – Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Mneteri ke-8 dalam sebuah kerajaan campuran yang dikenali sebagai Kerajaan Perikatan Nasional.

12 JANUARI 2021 – Al-Sultan Abdullah berkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan ekoran penularan pandemik Covid -19.

21 OGOS 2021 – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-9 di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

12 OKTOBER 2022 – Seri Paduka Baginda berkenan menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia iaitu Stesen Janakuasa Battersea di Central London.

23 NOVEMBER 2022 – Al-Sultan Abdullah berjaya menyelesaikan kemelut politik ketika situasi Parlimen tergantung pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

24 NOVEMBER 2022 – Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

3 – 13 SEPTEMBER 2023 – Baginda menjadi Agong Pertama menjelajah Sabah dan Sarawak dengan memandu kenderaan sendiri sejauh 2,154 kilometer sepanjang Kembara Kenali Borneo.

30 NOVEMBER – 4 DISEMBER 2023 – Baginda dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) kepada Konvesyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan iklim (UNFCCC) di Dubai.

Daulat Tuanku !

SUMBER : BERITA HARIAN, BERNAMA , FACEBOOK, SINAR HARIAN

Related Articles

Back to top button