Portal Hello

Tiada Peningkatan Harga Ayam, Bekalan Stabil – KPKM

KUALA LUMPUR – Tinjauan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di kawasan sekitar Selangor, Negeri Sembilan, dan Putrjaya mendapati bahawa tiada peningkatan harga ayam di peringkat rantaian bekalan.

KPKM menerusi hantaran di laman media sosial Facebook malam Rabu, memaklumkan bahawa pemantauan pada hari pertama pengapungan harga ayam semalam (1 November) mendapati harga ayam yang dijual adalah antara RM7.39 hingga RM9.40 sekilogram (kg).

“Pengguna mempunyai pelbagai pilihan daripada segi harga jualan serta jenis ayam yang dijual berdasarkan lokasi dan tempat jualan. Aspek bekalan juga adalah stabil dan mencukupi untuk keperluan pengguna.

“Pihak KPKM akan terus bekerjasama erat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran serta memantau secara dekat mengenai sebarang aktiviti pencatututan yang dilaporkan,” jelas beliau dalam hantaran itu.

Menurut KPKM, hasil tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan mendapati bahawa ayam standard dijual pada harga RM9.40 sekilogram dengan caj upah pemotongan 50 sen, manakala Pasar Raya Econsave Kota Warisan Sepang pula menjual ayam standard pada harga RM8.39 sekilogram.

Selain itu, tinjauan di Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) Sungai Merab mendapati harga ayam super dijual RM9.20 sekilogram.

Pemantauan harga ayam standard di Nilai mendapati Pasar Awam Sementara Nilai menjula ayam sekilogram dengan harga RM9.40, Pasar Raya Giant Superstore Nilai (RM7.89 sekilogram), manakala di Lotus Nilai Putra dengan harga RM7.39 sekilogram.

Kemudian, berdasarkan tinjauan di Putrajaya pula, harga sekilogram ayam super di Pasar Raya Mydin dijual pada harga RM7.99, manakala di Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putrajaya dijual pada harga RM9 sekilogram.

Pemantauan berkenaan diketuai oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali dan disertai oleh Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version