Portal Hello

Tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung enam hari lagi

ETALING JAYA – Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman selama tujuh hari berakhir hari ini, disambung reman enam hari lagi.

Peguam kepada pasangan itu, Fahmi Abd Moin, ketika ditemui pemberita mengesahkan perintah reman baharu itu yang akan tamat pada Rabu depan dikeluarkan Majistret Ainaa Muhamad Kamal.

“Pegawai penyiasat kanan polis yang hadir, memohon menyambung reman terhadap kedua-dua anak guam, selain memberi alasan berdasarkan siasatan diperoleh daripada (reman) tujuh hari sebelum ini. Sepatutnya tamat (reman) hari ini, pihak polis memohon sambung reman tujuh hari dan kami membantahnya atas alasan anak guam tidak perlu ditahan dengan lebih lama serta mereka sepatutnya dilepaskan.

“Namun, majistret mendapati ada alasan untuk menahan mereka lagi dan membenarkan tahanan reman selama enam hari. Kedua-dua anak guam faham kenapa prosiding (reman) perlu dilanjutkan.

Peguam terbaru ibu bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin.

“Reman hari ini hingga Rabu depan, ada isu atau kes mereka harus dibebaskan pada Rabu. Siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kes bunuh), namun permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya selepas prosiding reman itu.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan akan memohon sambungan reman kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan pembunuhan mangsa.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Sementara itu, seorang lagi peguam pasangan itu, Ilyani Khuzairy, berkata bapa Zayn Rayyan berada dalam keadaan sangat tertekan termasuk menangis dan sering mengatakan pembunuh anaknya itu masih bebas.

“Peguam dapat bercakap dengan anak guam dan segala layanan polis terhadap mereka masih baik. Anak guam berharap kes ini dapat diselesaikan secara baik serta siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil supaya keadilan terhadap arwah anak mereka dapat dicapai,” katanya.

Peguam lain pasangan itu, Ilyani Khuzairy.

SUMBER : BERITA HARIAN

Exit mobile version