Portal Hello

Taman Kucing Di Klang Didakwa Abai Kebajikan Haiwan Terbiar

KLANG – Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menggesa pihak yang bertanggungjawab terhadap sebuah taman kucing di Klang, Selangor untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan yang menyatakan terdapat pengabaian kepada kebajikan haiwan berkenaan.

Ia berikutan video tular berdurasi lebih seminit yang memaparkan kekecewaan seorang pengunjung berhubung keadaan taman berkenaan yang didakwa tidak terjaga sehingga menyebabkan ada kucing yang sakit dan cedera.

“Berdasarkan pemerhatian yang kita buat menerusi video tersebut, spesifikasi tempat itu tidak menepati Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan kondusif tempat juga tidak menepati yang sepatutnya.

“Pembukaan tempat perlindungan ini bukan berapa modal dibina tetapi kesediaan dan kesinambungan menyeluruh terhadap pengurusan itu penting,” kata Arie Dwi Andika, Presiden Animal Malaysia ketika dihubungi Buletin TV3.

Terdahulu, video yang dimuat naik Emilia Seng menerusi media sosial memaparkan keadaan dalam sangkar kurungan kucing yang memperlihatkan keadaan yang didakwa tidak kondusif bagi haiwan berkenaan.

Pengunjung taman kucing itu juga mendakwa menemui kucing yang cedera berhampiran sangkar berkenaan.

“Saya cuba untuk selamatkan kucing yang patah kaki ini.

“Sejujurnya ini bukan kawasan (taman kucing) yang selamat.

“Tolong sangat-sangat bagitahu kepada pemilik taman ini untuk keluarkan kucing dari sangkar. Mereka terseksa sebab sangat panas dalam sangkar ini,” kata Emilia Seng dalam rakaman video berkenaan.

Dalam video terbabit juga memaparkan lebih 10 ekor kucing berada di dalam sangkar berkenaan yang berkunci.

Emilia turut mendakwa, terdapat seekor anak kucing berwarna hitam dipercayai telah mati di dalam sangkar itu, selain menyatakan pasir serta tempat makanan kucing berada dalam keadaan kotor.

Sebelum ini, pembinaan tempat perlindungan haiwan terbiar itu merupakan kerjasama sebuah syarikat swasta bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dirasmikan pada 18 Ogos lalu dengan tujuan untuk menyediakan tempat selamat untuk kucing terbiar sambil mempromosikan pemilikan haiwan peliharaan.

SUMBER: BULETIN TV3

Exit mobile version