Portal Hello

Situasi di Bangladesh semakin tegang, rakyat Malaysia akan dibawa pulang

SEPANG – Penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh susulan ketegangan di negara itu berlepas pada 7.30 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini.

Penerbangan AirAsia yang menggunakan pesawat Airbus A330 wide body atau badan lebar yang mampu memuatkan 350 penumpang itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 9.20 pagi waktu tempatan.

Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin mengetuai misi berkenaan dan beliau berkata lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar telah ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka semalam.

“Misi ini sebenarnya dirancang sejak 12 Julai, pelaksanaannya pula mengambil masa paling singkat, kurang 12 jam.

“Sebaik sahaja dapat ‘lampu hijau’ daripada Pesuruhjaya Tinggi kita di Bangladesh, kami dapatkan kapal terbang, namun ada kelewatan sedikit dan tidak dapat dimulakan semalam sebab kita diminta tunggu untuk pastikan pelajar-pelajar kita sampai di Suruhanjaya Tinggi kita di Dhaka,” – ujar Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin

Pesawat yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Dhaka dijangka berlepas pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) dan tiba di tanah air sekitar jam 4.20 petang di Terminal 2 KLIA, menurut Shazelina.

Misi ini disertai oleh 15 petugas daripada Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara, dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dalam misi tersebut, Bernama diwakili oleh Penolong Editor (Perkhidmatan Berita Am), Nik Nurfaqih Nik Wil, bersama jurufoto Muhammad Izzuddin Abd Radzak.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024, menyatakan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Bangladesh demi memastikan keselamatan mereka berikutan ketegangan yang meningkat di negara tersebut.

Beliau menambah bahawa keputusan ini dibuat selepas Kementerian Luar memantau perkembangan terkini di Bangladesh.

SUMBER : BERNAMA, SINAR HARIAN

Exit mobile version