Portal Hello

Selangor meluaskan penanaman padi di Sekinchan – MB Selangor

Selangor

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang untuk meluaskan kaedah penanaman dan penjagaan padi dari Sekinchan di daerah Sabak Bernam ke kawasan lain di Selangor.

Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, menyatakan bahawa usaha ini sejajar dengan inisiatif “Gelombang Padi” yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat, memandangkan hasil padi di kawasan tersebut lebih tinggi dan berkualiti berbanding dengan kawasan penanaman lain di Selangor.

Beliau turut menekankan bahawa dua EXCO kerajaan negeri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan penanaman padi, iaitu Datuk Ng Suee Lim dan Datuk Rizam Ismail, diberi tanggungjawab khas untuk menguruskan inisiatif ini.

“Tugas ini kita berikan antaranya untuk melihat bagaimana kaedah mengembangkan formula penanaman di Sekinchan ke beberapa lokaliti lain di Kuala Selangor dan Sabak Bernam”.

“Apa yang kita lihat, pengeluaran padi Sekinchan agak tinggi dan jumlahnya tidak sama serta berbeza dengan pengeluaran padi di tempat lain, antaranya di Tanjong Karang dan Sungai Panjang.” katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Sekolah Digital Selangor di sini, hari ini.

Beliau turut berkata bahawa kaedah penanaman format lama iaitu tanam, tinggal dan tuai itu tidak boleh dilaksanakan dalam usaha memastikan hasil padi ke tahap yang optimum.

“Ia bukan sekadar jentera dan teknologi tetapi juga bagaimana teknik dan kaedah penjagaan sepanjang musim padi.

“Ia bukan lagi 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai. Jadi, ini yang akan kita kembangkan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin menyatakan bahawa hasil padi di Sekinchan merupakan yang tertinggi di negara ini, dengan setiap hektar mampu menghasilkan 12 tan padi, berbanding dengan kira-kira empat tan di negeri lain.

Beliau menambah bahawa Selangor akan menerapkan pelbagai teknologi dan teknik terkini untuk memastikan pencapaian hasil yang terbaik.

SUMBER : BERITA HARIAN , SELANGORKINI

Exit mobile version