KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa sejarah Asia perlu dihayati dan dihargai dengan lebih mendalam tanpa dipengaruhi oleh naratif kolonial Barat.
Anwar berkata, kisah ketokohan Tipu Sultan dan Haider Ali dari era Kesultanan Mysore menjadi contoh jelas mengapa sejarah perlu difahami daripada perspektif pemimpin tempatan dan serantau. Menurutnya, keberanian dan ilmu yang dimiliki kedua-dua tokoh itu ketika menentang perluasan penjajahan British membuktikan bahawa sejarah Asia kaya dengan nilai keberanian dan toleransi.
“Sejarah tidak semestinya bersifat adil. Sarjana kita, Syed Hussein Alatas, menekankan perlunya membina semula sejarah yang tidak hanya ditulis oleh pihak yang menang atau dilihat dari kaca mata penjajah. Sejarah Malaysia, seperti banyak negara lain, sering didominasi perspektif British,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Ngauman Harimau Mysore: Warisan Haider Ali dan Tipu Sultan di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini, malam ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Pengerusi Yayasan Al-Bukhari, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Anwar turut berkongsi pengalaman mengunjungi wilayah peninggalan Mysore sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri. Beliau mengagumi kesederhanaan istana Tipu Sultan, penghormatan baginda terhadap kuil-kuil Hindu, serta kemahiran teknologi ketenteraan Kesultanan Mysore yang pernah mengejutkan British pada awal peperangan.
“Ini bukan sekadar pameran biasa, tetapi menonjolkan sejarah dunia Islam, sejarah India, dan perjuangan anti-penjajahan yang memberi inspirasi,” jelasnya.
