Portal Hello

Ringgit melonjak kepada RM4.53 berbanding dolar AS

Ringgit melonjak kepada RM4.53 berbanding dolar AS

Money changer staff showing the USD currency and Ringgit Malaysia at the premises in shopping mall on Jan 05 for the story on USD currency exchange rate drop recently. —AZMAN GHANI/The Star

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, didorong oleh perbincangan positif antara Presiden China, Xi Jinping dan Presiden AS, Joe Biden di Sidang Kemuncak G20.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat 1.15 peratus kepada 4.5390/5465 berbanding dolar AS daripada 4.5925/5980 ketika ditutup pada Isnin.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pertemuan Xi-Biden di Bali, Indonesia menambah baik sentimen terhadap ringgit selepas Biden menyatakan bahawa beliau percaya tidak perlu ada perang dingin baharu dengan China.

“Redanya ketegangan AS-China adalah sesuatu yang amat positif untuk ringgit,” katanya

Beliau berkata, walaupun data ekonomi China bagi Oktober lebih lemah berbanding jangkaan namun, sentimen kekal baik susulan perbincangan positif yang berterusan daripada pertemuan Xi-Biden dan Sidang Kemuncak G20.

“Saham-saham China juga meningkat kukuh memandangkan pelabur terus memburu lantunan pembukaan semula yang lebih tinggi,” katanya.

Innes berkata, walaupun AS dan China masih mempunyai pandangan yang berbeza mengenai Taiwan, hak asasi manusia dan dasar perdagangan namun pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu menunjukkan beberapa isyarat yang menyenangkan mengenai hubungan AS-China.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2573/2629 daripada 3.2738/2782 ketika ditutup pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.7242/7320 daripada 4.7381/7438.

Ringgit tinggi berbanding pound British kepada 5.3678/3767 daripada 5.4187/4252 semalam dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3194/3252 daripada 3.3405/3450.

Exit mobile version