Portal Hello

Produk viral terbaru, “Energy Stick” akan dikenakan tindakan – Menteri Kesihatan

Energy Stick

CHERAS – Mengikuti trend terkini dengan produk viral, baru-baru ini telah tular kewujudan penyedut hidung atau lebih dikenali dengan nama “Energy Stick” ini giat dijual dan dipromosikan melalui pelbagai media sosial yang mendakwa dapat memberi tenaga dan kesegaran kepada penggunanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan segera mengambil tindakan berkenaan produk tersebut dan menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau sudah pun menerima pelbagai aduan dan amaran berhubung isu “Energy Stick” ini.

“Saya sudah awal menerima ‘alert’ ini. Langsung saya beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media.

“Kita (KKM) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak di sini, semalam.

SUMBER : BERITA HARIAN

AMARAN DARI PUBLIC HEALTH MALAYSIA BERKENAAN ISU “ENERGY STICK”

Sebelum ini, Public Health Malaysia (PHM) sudah menyiarkan maklumat berkaitan dengan “Energy Stick” untuk memberi amaran supaya berhati-hati dengan produk tersebut.

Mereka menyatakan lagi dalam hantarannya di Facebook bahawa produk tersebut sudah mula menjadi trend dan popular di kalangan pelajar sekolah yang dijual dengan harga serendah RM 2.50 sehingga RM 10.

“Produk penyedut hidung ini dipromosikan sebagai produk untuk memberi tenaga dan untuk memberi kesegaran kepada pengguna. Ada penjual menggunakan ‘tagline’ ‘Sedut dahulu, baru pergi sekolah’ dan ‘Sedut dulu baru mulakan kerja’.

“Ia bersaiz kecil, hanya sebesar pemetik api, berwarna warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik,” tambahnya lagi.

Jika diperhatikan secara teliti, pengambilan produk itu sama seperti pengambilan dadah kerana kaedah “snorting” melalui hidung secara psikologinya amatlah berbahaya dan menggalakan pengguna mecuba bahan lain termasuklah dadah.

“Berkaitan segi perubatan, pengambilan bahan kimia melalui hidung menyebabkan kerosakan mukus di dalam rongga hidung, luka, pendarahan dan jangkitan.

“Alahan dan keracunan juga boleh berlaku kerana bahan yang digunakan tidak diketahui. Bertambah lagi beban ibu bapa dan guru untuk memantau anak dari penggunaan barang ini,” katanya.

Kesimpulannya, KKM dan PHM meminta supaya penjualan dan pembelian produk itu dari mana mana sumber sekalipun perlu dihentikan segera, atau tindakan bakal menyusul.

SUMBER : BERITA HARIAN , PUBLIC HEALTH MALAYSIA

Exit mobile version