PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Parlimen akan meluluskan kenaikan lebih 13 peratus gaji penjawat awam, yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025 pada Oktober ini.
Beliau berkata semua pemimpin parti komponen dalam Kerajaan MADANI termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor juga memberi sokongan penuh terhadap kenaikan itu supaya ia dapat dilaksanakan pada 1 Dis ini.
Perdana Menteri menegaskan, jika ada mana-mana pihak yang cuba membantah kenaikan tersebut, mereka perlu ‘dihumban’ dalam pilihan raya akan datang.
Katanya lagi, pihak yang melontarkan kritikan mengenai cadangan kenaikan gaji penjawat awam tidak sepatutnya bersikap angkuh, sebaliknya perlu sabar menunggu perincian daripada kerajaan.
“Penjawat awam umumnya sambut baik (kenaikan) tetapi kita tak boleh halang beberapa kenyataan yang hambar, ada (yang) kata ini pengumuman untuk laksana 1 Dis, mana tahu kalau Parlimen tak luluskan.
“Saya nak tanya siapa Ahli Parlimen yang nak bantah kenaikan ini, kalau ada, kita humban dia dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dokumen Terma Rujukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (MCBA) dan penguatkuasaan mengenai kawalan dan perlindungan sempadan negara dan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI Tahun 2024, di sini, hari ini.
“… yang dikaitkan ialah kenaikan ini rendah (iaitu) 15 peratus kerana pernah (sebelum ini) mencecah 35 peratus. Sebab itu saya (kata), nak kritik boleh tetapi sabar dulu.. Jangan sombong dan angkuh, jangan dengki.
“Dengki itu kerana bila ada pengumuman baik, orang sambut baik… dan dia mesti cuba berhujah untuk mencemuh. Saya nak beritahu saudara, kalau kita tengok perincian keputusan ini, sebenarnya bagi kategori rendah, kenaikan itu antara 20 peratus sampai mencecah 40 peratus bagi kebanyakan pekerja awam.
“Maknanya sekarang ini kenaikan secara umum 15 peratus tetapi secara khusus bagi pihak (gred) rendah, kenaikan antara 20 peratus dan ada yang mencecah hampir 40 peratus,” katanya pada Khamis.
Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Rabu, telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, iaitu antara yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Perdana Menteri turut membidas pihak terbabit sebagai ‘haprak’ dan tidak boleh diterima kerana mengkritik usaha kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam selepas 12 tahun ia tidak dilaksanakan.
Beliau berkata, kerajaan belum lagi mengumumkan secara terperinci mengenai kenaikan gaji penjawat awam kerana ia perlu mengikut proses sepatutnya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan maklumat secara lebih terperinci akan dimaklumkan pada perhimpunan Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA (MAPA 2024), yang dijadual pada Jun depan sebelum ia secara lengkap diumumkan dalam Belanjawan 2025.
SUMBER : BERNAMA, ASTRO AWANI
