Portal Hello

PM Anwar: Hidangkan Buah Tempatan di Majlis Rasmi, Sokong Hasil Tani Negara

PUTRAJAYA, 20 Jun 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar semua jabatan kerajaan mengutamakan penggunaan buah-buahan tempatan dalam sebarang majlis rasmi, sebagai langkah menyokong para petani serta memperkukuh industri pertanian negara.

Arahan tersebut, menurut beliau, merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan sektor pertanian tempatan dan memberi laluan lebih luas kepada hasil tani negara memasuki pasaran utama, termasuk majlis rasmi kerajaan.

“Saya mahu semua jabatan dan agensi kerajaan pastikan buah-buahan tempatan disajikan dalam setiap majlis, mesyuarat atau sebarang acara rasmi. Kita ada durian, mangga, rambutan, pisang, betik – semuanya segar dan berkualiti,” katanya ketika berucap dalam sesi libat urus bersama warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini.

Jelas Anwar, sokongan terhadap hasil tani tempatan bukan sekadar soal patriotisme makanan, tetapi juga strategi untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara, sekaligus memberi jaminan pendapatan lebih stabil kepada golongan petani dan pekebun kecil.

“Kita terlalu biasa dengan buah import, sedangkan yang kita tanam sendiri jauh lebih baik. Sudah tiba masanya jabatan-jabatan kerajaan menunjukkan teladan dengan menyokong produk negara kita sendiri,” ujar beliau.

Cadangan itu turut menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak, terutamanya pengusaha tani, yang melihatnya sebagai peluang memperluas permintaan terhadap buah-buahan tempatan di pasaran institusi.

Kerajaan dalam masa yang sama turut memperhebatkan promosi produk tempatan menerusi program Buy Malaysian First dan memperluas kolaborasi dengan sektor swasta, GLC dan GLIC bagi memastikan kelangsungan ekonomi rakyat terus terpelihara.

Exit mobile version