Portal Hello

Pingat gangsa untuk Malaysia, tahniah Aaron Chia-Soh Wooi Yik ! – Olimpik Paris 2024

PARIS – Gandingan negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, tidak menyangka mampu bangkit dari ambang kekalahan untuk menghadiahkan pingat pertama gangsa buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.

Aaron Chia dan Wooi Yik, yang ketinggalan 16-20 pada set kedua menentang pasangan Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen, berjaya mengutip empat mata berturut-turut untuk membawa perlawanan ke set penentuan. Mereka akhirnya memenangi aksi penentuan gangsa dengan keputusan 16-21, 22-20, 21-19 di Arena Porte de La Chapelle.

Mengulas mengenai kebangkitan luar biasa itu, Aaron berkata mereka tidak yakin dapat menang ketika pasangan Denmark hanya memerlukan satu mata lagi untuk meraih kemenangan. Namun, semangat juang yang tinggi mendorong mereka untuk bangkit dan meraih kemenangan berharga buat kontinjen negara.

“Perlawanan tadi bukan mengenai corak permainan atau lain tetapi tentang mental… Kita tidak pernah putus asa dan percaya antara satu sama lain, itu sahaja. Kita memang tidak yakin walaupun pernah buat kebangkitan di kejohanan Jelajah Dunia kerana ini Olimpik.

“Namun, kita tetap mahu lawan walaupun satu mata, kita tidak mahu putus asa sampai mata terakhir. Ia merupakan satu kebangkitan luar biasa dalam kejohanan besar ini. Mungkin ada yang kata pingat gangsa lagi, tiada peningkatan dan konsisten menang gangsa, tapi ia bergantung kepada cara anda menyatakannya,” katanya.

Aaron berkata walaupun mereka bangga dengan kejayaan meraih pingat buat negara, tetapi tidak berniat untuk meraikannya secara besar-besaran kerana sasaran sebenar mereka adalah pingat emas. 

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, beliau berkata selepas berehat beberapa hari, mereka akan meneruskan perjuangan dalam baki kejohanan Jelajah Dunia tahun ini.

“Selepas itu, saya rasa tahun depan sudah kena mulakan persiapan (untuk Olimpik) Los Angeles 2028 (LA28),” katanya. 

Sementara itu, Wooi Yik berkata mereka berjaya mengatasi Astrup-Rasmussen dengan meningkatkan variasi dan kekebalan dalam pertahanan.

“Dari situ mereka pun dah sangat gementar dan kita pun dapat rasakan juga, jadi kita lepaskan (mengembalikan bulu tangkis) dan tidak buat kesilapan mudah. Apabila mereka rasa tekanan itu, kita ada peluang untuk dapatkan mata.

“Kepada semua penyokong yang sentiasa berada bersama kami, sejak kali pertama dapat gangsa di Tokyo, saya dan harap akan lebih baik di LA28. Mungkin kita tak capai apa yang Malaysia inginkan, tapi bagaimana kita hadapi kekalahan di separuh akhir, dan lawan untuk gangsa hari ini, bukan semua orang boleh lakukan,” katanya. 

Aaron-Wooi Yik terlepas peluang untuk menukar warna pingat ke emas atau perak, selepas tewas 19-21, 21-15, 17-21 kepada beregu utama dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam pertarungan separuh akhir yang sengit pada Jumaat lepas.

Di Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk membawa pulang pingat gangsa.

Apa apa pun, tahniah  Aaron Chia-Soh Wooi Yik kerana mengharumkan nama Malaysia dalam Olimpik kali ini !

SUMBER : BERNAMA

Exit mobile version