Portal Hello

Pendedahan Awal Media Sosial Jejas Perkembangan Psikologi Kanak-kanak – Dr. Zubaidah Jamil @ Osman

Serdang, 28 Oktober – Pendedahan awal terhadap media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 13 tahun boleh mendatangkan kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan psikologi mereka, menurut Dr. Zubaidah Jamil @ Osman, Pensyarah Kanan Psikologi Klinikal di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut beliau, penggunaan media sosial secara tidak terkawal meningkatkan risiko kebimbangan, kemurungan serta harga diri yang rendah dalam kalangan kanak-kanak yang masih belum matang dari segi kognitif dan emosi.

“Pada usia ini, kanak-kanak masih dalam proses membina identiti diri. Apabila mereka terlalu awal terdedah kepada perbandingan sosial atau komen negatif di platform digital, ia boleh menjejaskan keyakinan diri dan kestabilan emosi,” jelasnya.

Selain itu, buli siber turut menjadi antara punca utama trauma jangka panjang yang memberi kesan kepada perkembangan psikologi kanak-kanak. Menurut Dr. Zubaidah, mangsa buli siber lazimnya menunjukkan tanda seperti menarik diri daripada aktiviti sosial, perubahan tingkah laku, dan masalah tumpuan di sekolah.

“Kesan buli siber tidak berhenti setakat pengalaman di alam maya. Ia boleh membawa kepada trauma berpanjangan, menjejaskan prestasi akademik dan membentuk pandangan negatif terhadap diri sendiri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Zubaidah turut menekankan peranan penting ibu bapa dalam membentuk tabiat sihat bagi anak-anak. Beliau menyarankan agar ibu bapa lebih proaktif memantau aktiviti digital anak serta mengimbangi penggunaan gajet dengan aktiviti fizikal, hobi dan interaksi keluarga.

“Paling penting, ibu bapa perlu menjadi model kepada anak-anak. Wujudkan masa tanpa skrin di rumah, galakkan perbualan terbuka, dan libatkan anak dalam aktiviti riadah atau sukarelawan yang boleh membina empati serta kemahiran sosial mereka,” ujar beliau.

Tambahnya, pendidikan digital bukan sekadar tentang teknologi, tetapi tentang keseimbangan antara dunia maya dan dunia sebenar agar generasi muda membesar dengan sihat dari aspek emosi, mental dan sosial.
Exit mobile version