Portal Hello

PDRM–MCMC Tumpaskan Sindiket SMS Scam Guna Peralatan ‘Fake BTS’

CYBERJAYA, 6 September – Satu lagi kejayaan besar dicapai apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram dikenali sebagai Fake Base Transceiver Station (Fake BTS). Operasi bersepadu yang dinamakan Op Pancing itu dijalankan hasil maklumat risikan serta aduan awam.

Dalam serbuan berkenaan, seorang individu ditahan ketika mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat membeli-belah utama di Kuala Lumpur. Pemeriksaan mendapati peralatan tersebut aktif menghantar SMS palsu berunsur pautan phishing serta mesej berkaitan perjudian kepada orang awam.

Susulan tangkapan itu, pasukan penguat kuasa menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam yang dijadikan lokasi penyimpanan peralatan komunikasi dan kenderaan, termasuk sebuah MPV yang turut dilengkapi Fake BTS mudah alih. Siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah mengubah suai peralatan tersebut supaya boleh beroperasi secara bergerak.

Secara keseluruhan, 45 barangan dengan anggaran nilai RM100,000 berjaya disita. Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Turut disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000, yang membawa hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara tiga tahun

Exit mobile version